Khamis, Januari 19, 2006

Di antara Amr Diyab dan Amr Khalid.

Oleh: Maszlee Malik
 
 
Bagi penggemar saluran ART di Astro pasti dua nama ini tidak asing bagi mereka. Dua nama yang mempunyai peminat dan kemasyhuran masing-masing. Kedua-duanya merupakan nama glamour, selebriti dan juga popular. Sayangnya bagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai keupayaan berbahasa Arab ataupun tidak meminati muzik Arab dan perkembangan di Timur Tengah, kedua-dua nama ini merupakan sesuatu yang ganjil, seumpama ganjilnya nama Awie dan Ismail Kamus kepada mat salih-mat salih yang berkeliaran di jalan P Ramlee mahupun Bukit Bintang. Yang pasti kedua-dua nama tersebut (Amr Diyab dan Amr Khalid) adalah fenomena di Timur tengah, samada di pendalaman Eneizah di Arab Saudi, mahupun di jalan Taal di bandar Tripoli, Lubnan.
 
Amr Diyab yang berasal dari Mesir merupakan bintang pop Arab zaman moden. Beliau mula dikenali, diminati dan juga digilaai oleh pemudi-pemudi Arab generasi ART semenjak lagu "Habibi Ya Nourul Ain"nya meletup dan meletupkan muncung-muncung radio di Timur tengah. Seorang yang masih muda, berwajah cantik, walaupun tidak sesegak Tom Cruise, namun telah melepasi tahap minimum ketampanan seorang pemuda Arab generasi baru telah menjadi modal yang penting untuk beliau membuat lonjakan di dalam dunia muzik Arab pasca Umm Kalthom dan Fairuz. Suaranya, video klipnya yang dipenuhi wanita-wanita muda separuh berbaju menjadi bonus kepada modal yang sedia ada untuk beliau terus melonjak dan menjadi bintang. Dengan keupayaan meletakkan namanya setaraf dengan Diana Haddad, George Wassuf, Kazim Sahir dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya, kaset-kaset beliau sering melepasi angka jualan 10 juta. Ya, bagi negara Arab angka 10 juta adalah sesuatu yang biasa, berbanding jualan 750,000 kaset Raihan yang pertama yang masih belum dapat digugat oleh penyanyai-penyayi Malaysia yang lain termasuklah S.M Salim dan juga Siti Nur Diana. Yang pasti tahun-tahun 90'an telah menyaksikan dan memberikan penyaksian bahawa Amr Diyab adalah fenomena.
 
Amr Khalid pula bukanlah seorang penyanyi seperti Amr Diyab, bukan juga seorang penyanyi nasyid seperti Imad, Raihan mahupun in-team. Beliau merupakan seorang penceramah kontemporari moden milenia ini di Timur tengah. Semenjak kematian Syeikh Mutawali Sya'rawi, Televisyen-televisyen Arab dan juga muncung-muncung radio mereka bagaikan ketagih kepada ceramah-ceramah berbentuk universal. Ceramah-ceramah yang bebas dari ikatan politik, kemazhaban mahupun pendekatan Islam yang agresif. Rakyat Arab peringkat pertengahan dan jalanan menanti-nantikan penceramah yang mempunyai unsur humor, bersikap sederhana dan juga dapat menyampaikan mesej kepada semua golongan, samada golongan di raja di Teluk, sehinggalah badwi-badwi di padang pasir ramtha di sempadan Jordan-Syria. Muncul seorang penceramah berkaliber dari Kuwait, Dr. Tariq Sweidan. Dengan tajuk-tajuk ceramahnya yang gempak, beliau telah berjaya menawan hati golongan terpelajar di Timur tengah. Kaset-kaset beliau memenuhi kedai-kedai kaset Islam dan kedai-kedai buku Islam di Timur tengah. Beliau, walau bagaimanapun gagal menawan hati golongan bawahan dan yang terpenting hati-hati golongan pemuda generasi MTV. Beliau gagal memenuhi vakum yang ditinggalkan Sya'rawi. Penghujung 90'an dan awal milenium ke-2, muncul seorang pemuda dari Mesir. Dengan kelulusan akademik bukan aliran agama, beliau berjaya memukau para pendengar dengan ceramah-ceramah beliau yang menghidupkan aspek spiritual dan juga memberikan suntikan-suntikan motivasi kepada umat Arab...dialah Amr Khalid.
 
Amr Khalid bukanlah seperti Ustaz Zawawi Jusoh bintang al-Kuliyyah, mahupun Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau seorang pemuda yang ringkas, kuat pegangan agama, dan ingin manusia yang boleh berbahasa Arab sepertinya untuk turut beriman dan bersamanya menuju ke jalan Allah dan juga hidup berdasarkan manhaj Allah S.W.T. Beliau sering tampil dengan kot, tali leher, tanpa janggut, tanpa ceramah yang berapi-api, tanpa retorik, tanpa hadis-hadis palsu, dan jauh sekali dari menjilat para penguasa. Dengan ketrampilan yang moden dan neutral beliau mudah diterima ramai, terutamanya di kalangan muda-mudi generasi MTV. Bukan rahsia lagi, jika beliau hadir memberikan ceramah di mana-mana sudut di muka bumi ini, pasti para muda-mudi dan generasi pertengahan dan bawahan umat Arab akan berpusu-pusu mendengarnya. Beliau bukanlah seorang orator yang mempunyai bakat yang unik seperti Hitler mahupun Sukarno, namun kata-katanya mudah diterima semua. Yang pasti beliau tidak pernah mengecam, memaki dan menjilat orang lain dalam ceramah-ceramahnya. Beliau juga tidak pernah menyalahkan, membid'ahkan, mengkafirkan, mahupun membodek orang lain dalam ceramah-ceramahnya. Apa yang beliau lakukan ?, beliau hanya bercerita, membawa para pendengar berfikir, memberikan motivasi, memberikan keyakinan dan juga menunjukkan jalan tanpa memaksa mereka. Contoh sepertinya di Malaysia ?, nil!...tiada yang boleh dikiaskan sepertinya. Mengapa ?, kerana umat Malaysia masih lagi hidup dengan mentaliti Islam tradisional mereka yang lebih mementingkan retorik dan penampilan berbanding isi dan kualiti.
 
Amr Khalid, walaupun seorang motivator, namun tidak pernah mengeluarkan hadis-hadis palsu dan fatwa-fatwa sesat sepertimana kebanyakan motivator-motivator di Malaysia. Beliau amat teliti dalam meriwayatkan hadis-hadis dan juga maklumat-maklumat yang dibawa. Hasilnya, lebih separuh pendengar dan peminat Amr Diyab beralih kepada Amr Khalid. Lebih menarik, jualan kaset-kaset Amr Khalid melebihi dua kali ganda peminat-peminat Amr Diyab. Beliau sememangnya fenomena!
 
Mengapa di Malaysia kita tidak mempunyai bintang seperti Amr Khalid?, bintang yang boleh membuatkan ramai muda-mudi kembali ke pangkal jalan dan beriman. Bintang yang telah berjaya membuatkan ramai anak-anak gadis Arab bertudung dan berhijab. Bintang yang dapat membuatkan T.V-T.V di Timur tengah berlumba-lumba menayangkan ceramahnya. Mengapa kita tiada bintang seperti ini?
 
Jawapannya mudah, golongan agama kita masih terkebelakang. Pengamalan Islam di kalangan masyarakat kita juga masih terkebelakang. Para penceramah kita juga masih mempunyai mentaliti kebelakangan. Rakyat kita secara keseluruhannya juga mempunyai mentaliti terkebelakang, terutamanya muda-mudi generasi MTV...media kita juga terkebelakang!
 
Sudah tiba masanya kita mempunyai mereka yang mempunyai pembawaan Islam yang sederhana, tetapi tidak pula menggadaikan prinsip-prinsip, berupaya bercakap dengan bahasa manusia moden dan memikat hati mereka. Ketrampilan juga memainkan peranan, disamping umur dan yang lebih penting lagi ialah ilmu Islam yang mantap dan bukan hanya kaki cakap sahaja. Yang memilukan hati kita, kebanyakan para penceramah kita hanya pandai bercakap sahaja, tetapi tidak bersifat ilmiah, objektif dan kritis. Banyak sekali hadis-hadis palsu yang kita boleh dapati apabila mendengar para motivator kita berkokok. Yang menjadi mangsa ialah masyarakat, maka hiduplah mereka di dalam kesesatan para motivator yang harga bayaran "fixed" mereka berjumlah RM 5,000 ke atas. Para ahli agama juga tidak kurang merapu juga, walaupun bukan semua, tetapi kebanyakan dari mereka yang muncul di kaca televisyen. Sudahlah tiada ilmu yang dibawa, yang ada hanyalah agenda-agenda politik pihak penaung saluran tersebut yang sudah lali kita dengar di merata sahaja, terutamanya di minbar-minbar khutbah yang mengantukkan. Bagi para penceramah yang terkenal pula, mereka hanya terkenal di dalam lingkungan audiens mereka yang terhad. Dari sudut ketrampilan pula, sudah tentunya fesyen konservatif menjadi pilihan mereka, jika tidak bersongkok hitam, maka berkopiah putih ataupun berserban.
 
Kesimpulannya, rasanya sudah tiba masanya para ahli agama dan pendakwah kita melihat dan belajar dari Amr Khalid. Masa masih belum terlambat untuk menyelamatkan masyarakat kita yang sudah jauh tersasar dari garisan kebenaran. Masa juga belum terlambat untuk para penceramah untuk mengubah imej mereka, agar lebih mudah diterima oleh generasi Akademi Fantasia dan Malaysian Idol. Menyalahkan mereka semata-mata adalah tidak wajar, bak kata pepatah Arab, memarahi kegelapan bukanlah sesuatu yang bijak, nyalakan lilin!!! (18/9/2004-Beirut, Lubnan)


--
Al-faqirah ilaLLah:
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami, jihad jalan kami, syahid cita-cita kami" adiemad
012-2900354
NADIE SAKURA E-SHOP
http://www.adiemad.com/ver2
1. Air Market
2. Jualan Busana Muslimah, Bahan-bahan ilmiah dll.
3. Ruangan Iklan Untuk Disewa
4. Artikel2 Menarik Dan Berita2 Terkini
5. Radio Online Dll

Tiada ulasan: