Oleh Zulina Hassan (Majalah i edisi Feb 2006)
Saya bertemu personaliti ini di celah-celah kesibukan
beliau mengejar waktu. Katanya, sehari sebelum kami bertemu, beliau
baru kembali dari Jakarta. Manakala petang hari itu pula, beliau akan
berangkat ke Hong Kong.
Sebenarnya bukanlah kesibukan beliau sebagai juruterbang
airbus MAS yang ingin saya nyatakan di sini. Di samping menjadi
juruterbang, beliau memikul satu tanggungjawab lain yang tidak kurang
besarnya kepada masyarakat iaitu sebagai penulis. Tanggungjawab itu
dilunaskan di celah-celah jadual penerbangannya yang agak ketat
terutama ketika berlangsungnya musim perayaan dan musim cuti sekolah.
Demikianlah, beliau melakukan dua kerja serentak tanpa mengenal penat
dan jemu.
Hafiz Firdaus Abdullah adalah nama yang tidak asing bagi
golongan agamawan dan pelajar-pelajar IPT yang bergiat cergas dalam
aktiviti keagamaan. Tidak sekadar menulis buku yang bercorak
keagamaan, beliau juga kerap dijemput memberi kuliah di universiti dan
kolej-kolej atas jemputan persatuan-persatuan pelajar. Kebanyakan
daripada mereka mengenali Hafiz melalui buku-buku tulisan beliau.
Serius Menulis
Anak jati Kuala Lumpur ini mula serius dalam bidang
penulisan sewaktu berusia 28 tahun. Semuanya bermula dari minat
membaca, kemudian didesak oleh rasa tanggungjawab untuk berkongsi dan
menyebarkan ilmu kepada masyarakat. Bermula pada tahun
1999, sehingga kini beliau telah menghasilkan sebanyak 21 judul buku.
Antaranya termasuk Pedoman Bermazhab Dalam Islam, Kaedah Memahami
Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah, Kaedah Memahami Hadis-Hadis
Musykil, 20 Hujah Antihadis dan Jawapannya serta Panduan Ibadah
Musafir Penerbangan yang kesemuanya diterbitkan oleh syarikat
penerbitan Jahabersa Sdn Bhd.
Jika dilihat kepada judul-judul buku yang ditulisnya,
ternyata Hafiz lebih cenderung menulis berkaitan dengan masyarakat dan
perkara-perkara berkaitan pemahaman terhadap hadis. Menurut beliau,
ini adalah kerana penghayatan masyarakat Malaysia terhadap hadis masih
berada di tahap yang minimum.
"Di Malaysia memang ada pengajian mengenai hadis. Tetapi
dari segi pemahaman dan penghayatannya, masih terlalu cetek. Misalnya,
masih ada di kalangan penceramah dan penulis-penulis ruangan agama di
media yang mencampur-adukkan segala hadis yang ada tanpa mementingkan
sanadnya, sama ada sahih, hasan, dan sebagainya," ujar beliau.
Tanpa mengikuti pengajian formal di mana-mana sekolah
agama atau institusi pengajian tinggi, Hafiz masih berupaya mendalami
pelbagai cabang ilmu agama. Benar seperti kata pepatah – 'kalau tak
dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya'. Beliau peroleh semua itu
melalui usaha yang tak kenal jemu. Selain mengikuti pelbagai bentuk
kuliah agama, pada masa yang sama beliau begitu tekun mengkaji
kitab-kitab muktabar yang sarat dengan ilmu, yang ditulis oleh
tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman silam dan juga semasa.
Hati yang Ikhlas
Mungkin ramai yang beranggapan, bukannya mudah untuk
mengkaji kitab-kitab muktabar itu seorang diri tanpa dipandu oleh
guru. Tetapi bagi Hafiz, beliau yakin setiap orang boleh melakukannya
jika dipandu oleh hati yang ikhlas dan mengharap petunjuk daripada
Allah SWT.
"Siapa saja yang ingin mendalami agama, dia pasti boleh
melakukannya asalkan niatnya ikhlas. Jangan sekali-kali mendalami
agama untuk tujuan lain seperti mendapat gelaran, sanjungan dan
sebagainya, sebaliknya mestilah dengan niat untuk beramal dan
berkongsi ilmu itu dengan orang lain. Insya-Allah kita akan dibantu
oleh Allah. Ini adalah lebih baik daripada orang yang berguru, tapi
tersalah pilih guru," ujar beliau.
Bagi memaksimumkan kebolehannya membaca kitab-kitab agama,
Hafiz berusaha mempelajari bahasa Arab melalui guru-guru agama dan
rakan-rakannya yang mahir berbahasa Arab. Walaupun tidak fasih
bertutur dalam bahasa tersebut, namun penguasaan bahasa Arab yang ada
membolehkannya membaca kitab-kitab Arab dengan baik.
"Sebenarnya kita boleh lakukan jika kita benar-benar ingin
melakukan sesuatu perkara itu. Lebih-lebih lagi bagi golongan dalam
bidang profesional yang memang sudah terbukti mereka ini bijak pandai.
Jika mereka boleh belajar sehingga ke tahap tertinggi dalam bidang
masing-masing, sudah tentu mereka juga boleh belajar dalam bidang
agama yang hakikatnya lebih mudah untuk dipelajari. Jangan 'bodohkan
diri' dalam bidang agama, sebaliknya mesti yakin dan ikhlas agar kita
boleh menghayati agama dengan cara yang benar," tambah Hafiz sambil
menekankan agar golongan profesional yang takut kepada agama mengubah
persepsi tersebut.
Bagi memastikan keseluruhan isi kandungan bukunya tepat
tanpa terselit pandangan-pandangan yang mengelirukan, Hafiz sentiasa
memastikan hadis-hadis yang dikemukakan disemak terlebih dahulu.
"Sebelum menulis mengenai sesuatu topik, saya akan
mengkaji dan membuat rujukan mengenai perkara itu secara terperinci.
Hujah-hujah atau dalil-dalil yang hendak dikemukakan mestilah dari
pendapat yang benar, bukannya pendapat yang memasyhurkan kita.
Pandangan-pandangan, hujah-hujah dan dalil-dalil itu saya kumpulkan
dan saya tulis semula dalam format baru yang sesuai dan mudah difahami
oleh masyarakat kita," ujar Hafiz mengenai falsafahnya dalam menulis.
Manfaat Kerjaya Sebagai Juruterbang
Setengah orang berpendapat, kerjaya sebagai juruterbang
amat menyeronokkan kerana berpeluang untuk melawat destinasi-destinasi
menarik di seluruh dunia secara percuma. Tetapi bagi Hafiz yang lebih
15 tahun bergelanggang dalam kerjaya tersebut, tiada apa yang menarik
kerana setiap kali mendarat di sesuatu bandar itu, keadaannya tetap
sama seperti pertama kali beliau tiba di situ.
"Kali pertama saya pergi ke sesuatu destinasi tu, biasanya
saya akan berjalan-jalan untuk melihat suasana di tempat tersebut.
Tapi kali kedua pergi ke sana, dah tak ada apa-apa yang menarik lagi
bagi saya. Jadi saya lebih suka berkurung dalam bilik hotel dengan
ditemani notebook dan buku-buku rujukan," katanya.
Walaupun demikian, selain mengkaji dan menyiapkan
penulisannya, ada kalanya Hafiz keluar untuk pergi ke kedai-kedai
buku. Itulah antara hobinya apabila berada di luar negara. Buku-buku
rujukan kini sudah memenuhi ruang di rumahnya sehingga memaksa beliau
mengubah suai rumah untuk tujuan menyediakan ruang yang lebih besar
untuk perpustakaan.
Hafiz juga bertuah kerana pengalaman melihat negara orang
membolehkan beliau melihat kepelbagaian umat Islam itu sendiri dan ini
amat berguna untuk kerjaya beliau sebagai penulis.
"Dengan melihat kepelbagaian umat Islam, saya dapat
melihat adanya toleransi dalam berbagai-bagai perbezaan pendapat. Kita
tidak lagi rasa kita saja yang betul, sebaliknya fikiran menjadi lebih
terbuka. Saya cuba kaji apa pegangan dan dalil yang menjadi hujah
mereka. Inilah antara sebabnya saya menulis buku Pedoman Bermazhab
Dalam Islam. Saya dedahkan perbezaan pendapat dan bagaimana untuk kita
berinteraksi dengan perbezaan pendapat itu," ujar Hafiz yang yakin
bahawa dengan mengajar umat Islam etika berbeza pendapat dapat
membantu mengekalkan perpaduan.
Terus Menulis
Menurut Hafiz, beliau akan terus menulis selagi mana dia
berupaya menyumbangkan kebolehannya itu untuk kepentingan masyarakat
umum. Bersama syarikat Jaharbersa, sebenarnya Hafiz bukan saja
menyumbangkan manuskrip, sebaliknya turut membuat editing, proof
reading serta atur huruf dan reka letak sendiri. Kerana itu, untuk
memastikan isi bukunya menepati kehendak masyarakat, Hafiz akan
meminta isterinya membaca terlebih dahulu. Selain itu, beliau juga
merujuk kepada rakan-rakan yang hampir dengannya.
Hafiz juga memastikan buku-bukunya tidak melebihi 200 muka
surat, agar tidak terlalu tebal untuk dibaca oleh masyarakat umum.
Walaupun demikian, beliau tetap mengemukakan perbincangan yang
mendalam dengan disertakan nota kaki. Selain itu, beliau juga tidak
mengambil sebarang royalti dari syarikat penerbit agar harga buku
dapat dikurangkan serendah mungkin. Niat beliau hanya satu – untuk
berdakwah atas rasa tanggungjawab.
Hafiz juga membina laman webnya sendiri yang boleh
dilayari di www.al-firdaus.com. Selain menulis untuk buku, beliau
memuatkan artikel-artikel pendek yang ditulisnya ke dalam laman web
tersebut.
Laman web itu juga menyediakan ruang untuk pembaca-pembaca buku beliau
memberi pandangan atau teguran. Dengan cara itulah Hafiz menganalisa
semula buku-bukunya untuk memastikan mesej yang ingin disampaikan
tepat dan boleh diterima oleh masyarakat.
Tetap Utamakan Keluarga
Hasil perkahwinan dengan Mariyati Mat Nasir yang suatu
masa dulu adalah pekerja di pejabat MAS, Hafiz dikurniakan seorang
puteri, Siti Nur Khatijah, 9, dan seorang putera, Umar Firdaus, 8.
Di celah-celah kesibukannya sebagai juruterbang dan
penulis, keluarga tetap menjadi keutamaan kepada Hafiz. Walaupun
jarang-jarang berkesempatan membawa keluarganya melancong ke luar
negara, namun semasa berada dalam negara, Hafiz akan sentiasa membawa
keluarganya setiap kali beliau memberi kuliah atau menghadiri sebarang
program. Ini kerana Hafiz kerap dipanggil untuk memberi pandangan
dalam mesyuarat beberapa pertubuhan agama walaupun beliau sendiri
tidak terlibat secara langsung dengan pertubuhan tersebut.
Hafiz bersyukur kerana isteri dan anak-anak amat memahami
tugas beliau. Kini, hampir kesemua urusan rumah tangga dijalankan oleh
isteri beliau. Bahkan Mariyati turut membantu Hafiz dalam penulisan
dengan cara membaca manuskrip yang telah siap. Dengan cara itu, Hafiz
dapat tahu sama ada masyarakat umum memahami mesej yang hendak
disampaikan atau tidak.
--
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami,
jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
NADIE SAKURA E-SHOP
013-2357442
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, baju punjabi, dan
blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan