Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
Assalamualaikum warahmatullah
Sempena Mother's Day yang akan datang ini, saya ingin berkongsi
sedikit "tazkirah". Sekalipun saya tahu sambutan Mother's Day ini
iperselisihkan hukumnya kerana ia berasal daripada selain Islam, namun
ingin diambil kesempatan ini memandangkan ramai yang "teringat" kepada
ibu mereka hanya sempena Mother's Day.
Untuk tazkirah ini saya akan kupas satu ayat al-Qur'an dan satu hadis
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Pertama: Ayat al-Qur'an.
Firman Allah:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan
kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa. [Maksud surah al-Isra 17:23]
Berkata Ibn 'Abbas radiallahu 'anhu, terdapat 3 ayat di dalam
al-Qur'an di mana huruf "wau" berfungsi sebagai pengikat antara dua
perkara, jika hanya satu perkara yang dilakukan manakala yang lain
ditinggalkan, bererti orang tersebut tidak melakukan kedua-duanya
sekali.
Yang pertama adalah firman Allah: "Dan taatlah kepada Allah DAN
taatlah kepada Rasul-Nya." Jika seseorang itu hanya taat kepada Allah
tetapi tidak taat kepada Rasulullah bererti dia juga tidak taat kepada
Allah.
Yang kedua adalah firman Allah: "Dan dirikanlah solat DAN keluarkanlah
zakat." Jika seseorang hanya bersolat tetapi tidak keluarkan zakat
bererti dia juga tidak bersolat. (Zakat yang dimaksudkan di sini ialah
zakat tahunan dan bukannya zakat fitrah 'Aidil Fitri)
Yang ketiga adalah firman Allah: "Engkau tidak menyembah melainkan
kepadaNya semata-mata DAN hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu
bapa." [al-Isra' 17:23]. Jika seseorang mentauhidkan Allah tetapi
tidak berbuat baik kepada ibubapa bererti dia juga tidak mentauhidkan
Allah.
Demikian adalah tafsiran Ibn 'Abbas radiallahu 'anhu, seorang pakar
tafsir di kalangan para sahabat radiallahu 'anhum sebagaimana nukil
Imam al-Dzahabi dalam kitabnya al-Kaba'ir. Apa yang dikatakan itu
adalah benar kerana Allah telah meletakkan perintah berbuat baik
kepada ibubapa BERSAMAAN dengan perintah untuk mentauhidkan-Nya.
Memisahkan antara kedua-dua perintah ini saling membatalkan antara
satu sama lain.
Berbuat baik kepada ibubapa sangat luas skopnya, ringkasnya dapat
dikatakan apa sahaja yang dilakukan oleh seorang anak yang dapat
mencapai keredhaan ibubapa dan menjauhi kemurkaan mereka adalah
"kebaikan" , kecuali sesuatu yang melibatkan syirik kepada Allah.
Firman Allah:
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan
jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau MEMPERSEKUTUKAN Daku
dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya,
maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali
kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang
kamu telah kerjakan. [Maksud surah al-Ankabut 29:08]
Kedua: Hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam.
Abu Sa'id al-Khudri radiallahu 'anhu berkata:
Sesungguhnya seorang lelaki dari Yaman telah berhijrah kepada
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam lalu baginda bertanya: "Adakah
kamu mempunyai seseorang di Yaman ?" Dia menjawab: "Ibubapa aku."
Rasulullah bertanya: "Adakah mereka memberi izin kepada engkau ?" Dia
menjawab: "Tidak."
Rasulullah bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah
izin dari mereka berdua. Jika mereka mengizinkan engkau maka
berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada
mereka berdua."
[Sahih Sunan Abu Daud – no: 2530]
Imam al-Syaukani mengulas petunjuk hukum yang terkandung di dalam
hadis di atas di dalam kitabnya Nail al-Authar:
Hadis (di atas) menjadi petunjuk bahwa berbuat kebaikan kepada ibubapa
adalah lebih utama daripada berjihad. Manakala sabda Rasulullah
sallallahu 'alaihi wasallam Jika mereka mengizinkan engkau maka
berjihadlah di dalamnya terkandung dalil bahawa wajib hukumnya meminta
izin ibubapa dalam urusan berjihad dan yang sedemikian adalah pendapat
jumhur ulama'. Bahkan mereka memutuskan dengan keharaman hukum
berjihad jika kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka menegah
(anak mereka) daripada berjihad kerana sesungguhnya berbuat baik
kepada ibubapa adalah Fardhu 'Ain manakala Jihad adalah Fardhu
Kifayah. Akan tetapi apabila hukum Jihad jatuh Fardhu 'Ain maka tidak
perlu meminta izin (daripada mereka berdua).
Saya (HF) menambah bahawa sekalipun hadis di atas masyhur dalam
perbahasan rukun-rukun Jihad, ia juga mengandung petunjuk lain iaitu
haram hukumnya seseorang anak keluar dalam suatu perjalanan, sama ada
dekat atau jauh, tanpa izin dan redha daripada ibubapa mereka. Ini
adalah kerana jika urusan Jihad di Jalan Allah yang sedemikian penting
lagi utama telah dilarang penglibatannya oleh Islam tanpa izin dan
redha ibubapa, maka sudah pasti dilarang juga lain-lain urusan yang
semuanya memiliki kedudukan yang lebih rendah keutamaannya daripada
Jihad.
Malang sekali sudah menjadi kebiasaan anak-anak keluar meninggalkan
ibubapa tanpa izin atau redha mereka, sama ada keluar tersebut adalah
dalam jangka masa yang pendek atau lama, dengan jarak yang jauh atau
dekat. Sedarilah bahawa semua ini berlaku dalam suasana keharaman
hukum Islam dan kemurkaan Allah 'Azza wa Jalla. Maka hendaklah setiap
anak yang salih dan salihah meminta izin dan redha ibubapa mereka
terlebih dahulu sebelum keluar rumah, sama ada sekadar bersiar-siar
sebentar di pekan berhampiran atau berhijrah ke sesuatu bandar yang
jauh untuk jangka masa yang lama.
==========
Demikian sedikit kupasan saya daripada sebuah ayat dan sepotong hadis.
Ringkasnya berbuat baik kepada ibubapa adalah satu kewajipan agama
yang sangat penting. Hendaklah kita yang masih memiliki ibubapa
menyedari hal ini dan bertindak segera jika sebelum ini kita telah
mengendahkan mereka, memarahi mereka dan yang paling buruk –
menderhakai mereka.
Jadikan Mother's Day yang akan datang ini sebagai satu titik penggerak
untuk mengubah cara kita berinteraksi dengan ibubapa kita. Malah lebih
baik kita mula hari ini tanpa perlu menunggu 11 May ini.
Selain itu berbuat kepada ibubapa adalah amalan berterusan, ia
bukanlah hanya di musim perayaan dan cuti sekolah. Bagi yang sibuk
berkerja di bandar atau belajar jauh, menalifon mereka sekali seminggu
adalah termasuk kebaikan yang termampu. Mungkin tiada apa yang hendak
kita cerita tetapi bagi orang tua kita, mendengar suara kita dan
mengingati niat kita untuk menalifon mereka sudah lebih dari mencukupi
untuk menggembirakan hati dan mengukir senyuman di muka.
Ingin saya tambah – dan ini agak pelik tetapi lazim – bahawa kita
memarahi ibubapa kita adalah sesuatu yang sukar dielakkan kerana
perbezaan yang sedia wujud antara kita sebagai orang muda dan mereka
sebagai orang tua. Apa sahaja yang mereka lakukan ada saja yang tak
kena, malah benda yang mereka tak buat juga ada yang tak kena !
TIDAK memarahi mereka adalah tuntutan agama yang sebenar tetapi akui
sahajalah, kita orang muda memang cepat marah. Maka jika telah
TERmarah, beranikanlah diri untuk meminta maaf kerana orang yang sudah
tua sangat mudah lagi suka menerima maaf. Bagi mereka yang ibu
atau/dan bapa telah meninggal dunia, berbuat baik kepada mereka boleh
dilakukan dengan:
[1] Mendoakan mereka: "Ya Allah ampunilah ibubapa aku dan rahmatilah
mereka sebagaimana mereka telah mengasuh aku sejak dari kecil."
[2] Bercakap-cakap apa yang baik tentang mereka (pastikan yang baik
itu adalah yang benar, jangan berdusta atau tokok tambah) dan mendiam
serta memaafkan apa yang kurang daripada mereka.
[3] Menghubungkan silaturahim dengan saudara mara dan sahabat karib
kedua ibubapa kita.
[4] Melakukan sedekah jariah dan meniatkannya ke atas mereka.
[5] Mengembang-luaskan ilmu yang benar yang mereka ajari supaya
pahalanya kembali kepada mereka. Di waktu yang sama membetulkan
apa-apa ajaran mereka yang salah supaya dosanya terhenti daripada
mereka.
[6] Melaksanakan wasiat mereka seperti membayar hutang dsbgnya.
Melaksanakan ibadah seperti puasa dan haji HANYALAH diterima jika
mereka MEWASIATKANNYA atau memang BERHAJAT untuk melakukannya ketika
masa hidup. Jika mereka tidak mewasiatkannya atau tidak berhajat
langsung bererti mereka sememangnya pada asal tidak berniat untuk
melaksanakannya. CONTOH: Jika seorang ayah di masa hidupnya memiliki
masa, wang dan tenaga yang cukup untuk mengerjakan Haji tetapi dia
tidak berhajat langsung, bererti dia memang tidak ingin berhaji. Si
ayah tidak akan mendapat apa-apa jika si anak melakukan Haji untuknya.
BERBEZA dengan seorang ayah yang di masa hidupnya telah bertungkus
lumus mengumpul wang akan tetapi sementara menunggu giliran Tabung
Haji, dia meninggal dunia. Si ayah akan mendapat Haji jika si anak
melakukan Haji untuknya selepas itu.
Demikian adalah amalan-amalan yang dapat dilakukan oleh seorang anak
kepada ibubapa mereka yang telah meninggal dunia berdasarkan SUNNAH
YANG SAHIH. Membacakan al-Qur'an, zikir, kenduri dan melakukan
ibadah-ibadah seperti solat, puasa, umrah dan haji kepada ibubapa yang
telah meninggal dunia bukanlah merupakan amalan yang diajar oleh
al-Qur'an dan al-Sunnah. Oleh itu tinggalkan apa yang samar-samar
kepada apa yang jelas lagi sahih agar ibubapa kita yang telah
meninggal dunia benar-benar mendapat manfaatnya.
--
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami,
jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
NADIE SAKURA E-SHOP
013-2357442
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, baju punjabi, dan
blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan