Jumaat, Mac 24, 2006

Pentingkah tarbiyah dan dakwah?

leh: Fazrul Ismail

Tarbiah dan dakwah tidak dapat dipisahkan dalam Islam. Tarbiah membawa
maksud latihan pendidikan untuk melengkapkan seorang individu Muslim
dengan segala aspek kekuatan rohani, jasmani, emosi, sosial, intelek
dan kemahiran. Dakwah adalah usaha menyeru manusia ke jalan Allah
dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangannya (R).

Pentingkah tarbiah?
Tarbiah seperti bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan
dakwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan bertahan lama, ia
akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu tidak lama
dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.

Pentingkah dakwah?
Sumber hidayah ada dua:

1. Hidayah tidak mutlak dari Rasul dan pendakwah

2. Hidayah mutlak dari Allah

Dalam al-Fatehah, kita membaca اهدنا الصراط المستقيم . Maksudnya ialah
"Tunjukkan kami jalan yang lurus." Menurut Quraish Shihab, penggunaan
'kami' di sini menjelaskan dua sebab:

1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya diperoleh oleh seorang individu
sahaja. Satu jemaah atau kumpulan perlu diberi hidayah untuk
memastikan individu lain berada di atas jalan yang lurus. Jika A
mendapat hidayah tetapi lingkungannya tidak, ia akan mengancam hidayah
keimanan yang ada dalam diri A.

2. Hidayah tidak mutlak ini diperoleh hasil daripada usaha sesama
manusia dan ia akan menjadi asas kepada hidayah mutlak yang hadir
daripada Allah.

Tidak lain tidak bukan, untuk merealisasikan poin kedua di atas,
dakwah diperlukan. Dakwah adalah usaha di peringkat sesama manusia
untuk memohon hidayah mutlak dari sisi Allah. Tidak mungkin Allah
memberi hidayah begitu sahaja tanpa usaha di peringkat manusia.

Dakwah juga adalah tugas Rasul yang menunjukkan nilai pengorbanan yang
tinggi. Individu yang tidak melaksanakan dakwah masih belum cukup
berkorban dan masih tidak layak untuk mengaku sebagai pengikut Nabi
yang sejati.

Tarbiah & dakwah berasingan ?
Tarbiah dan dakwah perlu seiringan dan tidak sesuai dipisahkan.
Mengapa? Walaupun Nabi berdakwah secara 'rasmi' pada usia 40 tahun,
namun beliau sudah menyediakan 'modal' dakwah sebelum itu lagi. Salah
satu modal tersebut—yang disusun oleh Allah– ialah sifat amanah dan
mulia akhlaknya sehingga digelar al-Amin. Ini adalah modal setelah
beliau mendapat wahyu pertama. Kejayaan Rasulullah berdakwah bukan
bermula 40 tahun. Beliau membina kejayaan karier dakwahnya seawal
kehidupan remaja beliau. Dan Rasul mendapat tarbiah daripada Allah
dengan Jibril menjadi gurunya sehingga wafat.

Tarbiah menjadi amat-amat penting apabila seseorang berada pada
lapangan dakwah yang memerlukan lebih banyak persediaan dan kekadang
'minyak' habis tiba-tiba disebabkan perjalanan dakwah ini jauh dan
sukar. Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah at-Taubah:

"[9.42] Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad)
sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang
sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan
mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan
mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami
sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta
itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui
bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang
tidak sanggupnya mengikutmu). "

Apakah kesan tarbiah tanpa dakwah?
Tarbiah adalah potensi seperti air dalam badan manusia. Sememangnya
air diperlukan, namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk
pelbagai seperti darah, membaiki tisu dan sebagainya. Jika air
tersebut di'peram'kan di dalam badan, ia akan busuk dan menyebabkan
penyakit. Segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiah yang tidak
diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang
itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum
(qadhi) daripada penyeru ke arah kebenaran (dua't). Tanpa dakwah,
tarbiah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan diri sahaja
betul dan individu lain salah.

Apakah kesan dakwah tanpa tarbiah?
Tarbiah adalah minyak yang menyediakan tenaga dan modal kepada
pendakwah. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak
manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak
dibekalkan daripada semasa ke semasa. Apabila ketandusan minyak, bukan
sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si
pendakwah itu sendiri rasa letih dan tidak mampu meneruskan kerja
dakwah. Inilah asas kepada gejala keguguran dalam medan dakwah.
Tarbiah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada
jalan yang mulia ini.

Pastikah tarbiah menjamin kelestarian dakwah?
Ya, dengan syarat tarbiah itu menepati ciri yang digariskan oleh
Allah. Barulah ia akan mampu menyediakan individu yang mapan dalaman
dan luarannya untuk istiqamah dalam dakwah.

--
NADIE SAKURA E-SHOP
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami,
jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
adiemad
013-2357442
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, jubah punjabi, dan
blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Keep up the good work
»