Selasa, Jun 05, 2007

Bekas peguambela dakwa campur tangan dalam kes Altantuya

SHAH ALAM, 4 Jun - Bekas peguambela seorang daripada tiga yang dituduh dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu mendakwa bahawa beliau menarik diri daripada kes berprofil tinggi itu kerana "campur tangan serius pihak ketiga".

Zulkifli Noordin, bekas peguam Cif Inspektor Azilah Hadri, seperti dilaporkan Bernama berkata terdapat campurtangan serius pihak ketiga dalam persediaannya bagi pembelaan dan perbicaraan yang telah meletakkannya dalam keadaan tidak dapat menjalankan tugas membela anak guamnya dengan baik.

"Tambahan pula terdapat cubaan serius pihak ketiga untuk campurtangan dengan pembelaan yang saya cadangkan bagi pihak anak guam saya untuk tujuan melindungi dan bagi manfaat pihak-pihak tertentu.

"Oleh itu saya amat yakin bahawa untuk terus bertindak bagi pihak anak guam saya dalam kes ini akan menjejaskan prinsip dan kedudukan saya sebagai seorang pegawai mahkamah dengan tugas utama saya untuk mendukung kebenaran dan keadilan tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media tempatan dan asing di perkarangan Mahkamah Tinggi di mana perbicaraan itu bermula hari ini.

Azilah, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, didakwa membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, 28, di Bukit Raja antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas sementara penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, dituduh bersubahat dengan mereka.

Tindakan Zulkifli mengedarkan kenyataannya menyebabkan keadaan menjadi kecoh apabila puluhan wartawan berebut kertas yang diedarkan sehingga menyebabkan kertas itu terkoyak. Mereka juga saling bertolakan merebut posisi untuk mendengar penjelasan Zulkifli.

Dalam kenyataan itu Zulkifli berkata walaupun beliau percaya sepenuhnya bahawa anak guamnya tidak bersalah terhadap tuduhan itu, beberapa fakta telah menarik perhatian beliau semasa membuat persediaan bagi perbicaran itu yang boleh menjejaskan tindakan beliau sebagai peguam bela Azilah.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan menyatakan rasa kesal bahawa beliau terpaksa menarik diri.

Tiada ulasan: