Khamis, September 14, 2006

Jihad Bukan Keganasan

Sumber: http://www.al-nidaa.com.my/artikel.php?id=58&action=view
20 Feb 2006
Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ إِذَا بَعَثَ جُيُوشَهُ
قَالَ اخْرُجُوا بِسْمِ اللَّهِ تُقَاتِلُونَ
فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ لَا تَغْدِرُوا وَلَا
تَغُلُّوا وَلَا تُمَثِّلُوا وَلَا تَقْتُلُوا الْوِلْدَانَ وَلَا
أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ
Dari Ibn `Abbas katanya: Rasulullah s.a.w apabila menghantar
tenteranya maka baginda bersabda: "Keluarlah kamu (medan jihad) dengan
nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah.
Jangan kamu melanggar perjanjian, jangan kamu mengkhianati harta
rampasan perang, jangan kamu rosakkan mayat, jangan kamu bunuh
kanak-kanak dan ahli-ahli rumah ibadat".
(Riwayat Ahmad)
عن ابن عمر: وُجِدَتِ امْرَأَةٌ مَقْتُولَةً فِي بَعْضِ مَغَازِي رَسُولِ
اللَّهِ فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ
Dari Ibn `Umar r.a. "Seorang wanita di dapati terbunuh dalam satu
peperangan (yang disertai Nabi s.a.w) maka baginda pun melarang
membunuh wanita dan kanak-kanak".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
SYARAH AL HADITH
Hadith-hadith di atas adalah antara hadith-hadith yang menggariskan
disiplin mujahidin Islam ketika berada di medan jihad. Sekalipun Islam
mengajak umatnya berperang menegak serta mempertahankan maruah dan
harga diri, Islam tidak mengizinkan umatnya bermaharajalela di medan
peperangan di atas nama ianya peperangan seperti yang kita lihat apa
yang dilakukan oleh kuasa-kuasa jahat terhadap negara-negara yang
mereka perangi. Islam mengawal dan mengajar umatnya, sekalipun
peperangan itu adalah peperangan, namun nilai-nilai keluhuran dan
akhlak tetap wajib dituruti dan dipatuhi. Firman Allah:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا
تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi
kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak
menyukai mereka yang melampaui batas". *3
Adalah mudah bagi bagi kita untuk mengamalkan sikap yang murni dan
akhlak yang mulia dalam keadaan biasa dan aman. Ini kerana suasana
aman menjadikan akal dapat berfikir dengan baik serta menguasai diri,
tetapi perkara ini menjadi begitu sukar dalam suasana peperangan.
Sekalipun begitu Islam tetap dengan kemuliaannya. Islam mewajibkan
mereka yang berperang di atas namanya terus beriltizam dengan
peraturan dan akhlak sekalipun ketika di medan perang. Peperangan di
atas nama Islam adalah demi untuk meninggikan kalimah Allah. Juga
supaya manusia dapat menerima dan melihat keindahan Islam. Ini tidak
mungkin dengan cara ditumpahkan darah manusia sebanyak-banyak.
Sebaliknya Islam meletakkan peraturan agar dikurangkan nyawa yang
terkorban dan darah yang tumpah. Inilah lambang peradaban Islam yang
tiada tolak bandingnya. Dengan itu, manusia akan menjadi jinak hatinya
dengan agama ini. Inilah rahsia bagaimana Islam dapat berkembang
pantas pada zaman kegemilangannya. Negara atau wilayah yang dimasuki
oleh tentera Islam dengan pantas penduduknya akan beriman dengan
ajaran Islam, tanpa sebarang paksaan, sebaliknya akhlak yang
dipamirkan oleh tentera Islam. Tiada paksaan di dalam Islam untuk
seseorang beriman dengan ajarannya. Kepercayaan dan keimanan sesuatu
yang tidak mungkin terhasil dengan paksaan. Keimanan itu bermula
dengan hati yang percaya. Sekiranya seseorang yang dipaksa itu
mengucapkan sesuatu dengan lidah, namun jika hatinya tidak beriman,
dia tetap dianggap tidak beriman. Pedang dan senjata tidak mungkin
dapat memasukkan iman ke dalam hati manusia. Namun peranan pedang dan
senjata ialah untuk menghapuskan tangan-tangan yang menghalang iman
masuk ke dalam hati manusia lain.
Untuk itu Islam menetapkan agar pembunuhan hanyalah di medan perang
dan tidak boleh direbakkan ke luar medan. Hanya dibunuh mereka yang
terlibat dengan peperangan. Adapun golongan musuh yang tidak menyertai
peperangan, mereka tidak dibunuh selagi mereka tidak menzahirkan
permusuhan dan penentangan bersenjata. Secara terperincinya, mereka
ialah:
Pertama: Wanita dan kanak-kanak. Antara dalilnya, hadith daripada Ibn
Umar r.a yang disebut di atas.
Kata al-Imam al-Syafi`iy (wafat 204H): "Tidak diharuskan sesiapapun di
kalangan muslimin untuk sengaja membunuh wanita dan kanak-kanak (dalam
peperangan), kerana Rasulullah s.a.w. melarang membunuh mereka." *4
Kata Ibn Rusyd (wafat 595H): "Demikian juga tiada khilaf di kalangan
ulama mengenai tidak harus membunuh kanak-kanak dan wanita selagi
mereka tidak terlibat berperang. Apabila wanita turut berperang, maka
dia boleh dibunuh. Ini semua berdasarkan apa yang pasti daripada Nabi
s.a.w. bahawa baginda melarang wanita dan kanak-kanak dibunuh." *5
Kedua: Orang tua dan orang yang uzur. Jumhur ulama (majoriti), iaitu
Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan satu dari pendapat al-Syafi`iy,
menyatakan mereka ini tidak dibunuh, melainkan jika dikhuatiri
terhadap tindakan dan perancangan mereka di dalam peperangan. Dalilnya
firman Allah di atas:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا
تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Maksudnya: "Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi
kamu, dan janganlah
kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang
melampaui batas." *6
Dalam riwayat yang dhaif daripada Abu Daud dikatakan Nabi s.a.w.bersabda:

انْطَلِقُوا بِاسْمِ اللَّهِ وَبِاللَّهِ وَعَلَى مِلَّةِ رَسُولِ
اللَّهِ وَلَا تَقْتُلُوا شَيْخًا فَانِيًا وَلَا طِفْلًا
وَلَا صَغِيرًا وَلَا امْرَأَةً وَلَا تَغُلُّوا وَضُمُّوا غَنَائِمَكُمْ
وَأَصْلِحُوا وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
"Pergilah kamu (ke medan perang) dengan nama Allah, dengan Allah dan
di atas agama Rasullulah!. Jangan kamu membunuh orang tua yang lemah,
kanak-kanak, wanita. Jangan kamu mengkhianati harta rampasan,
himpunkan harta peperangan kamu, buatlah yang elok dan baik,
sesungguhnya Allah sukakan mereka yang berbuat baik." *7
Sekalipun hadith ini sanadnya dhaif, namun golongan tua yang tidak
membantu peperangan sama ada dari segi tenaga atau buah fikiran, tetap
tidak wajar dibunuh. Ini dapat diqiaskan kepada wanita yang tidak
membantu peperangan. Kata Ibn Daqiq al-`Id ابن دقيق العيد(wafat 702H):
"Hukum asalnya ialah tidak boleh membunuh.
Hanya dibolehkan membunuh demi mengelakkan kemerbahayaan. Sesiapa yang
pada kebiasaan tidak berperang (menentang tentera Islam) dan tidak
berkemampuan untuk berperang maka dia tidak mendatang mudarat seperti
mana mereka yang berperang. Maka hukumnya kembali kepada asal iaitu
mereka itu tidak boleh dibunuh." *8
Apa yang penting ialah mereka tidak bertindak membantu peperangan.
Oleh itu pasti daripada Nabi s.a.w. juga bahawa baginda memerintahkan
supaya dibunuh Zaid bin al-Summah yang berusia 120 tahun atau lebih
kerana membantu tentera Hawazin. *9
Ketiga: Mereka yang beribadat di rumah-rumah ibadat. Dalilnya ialah
riwayat Ibn `Abbas yang dinyatakan tadi.
Kata al-Syaukaniy الشوكاني (wafat 1250H): "Pada hadith ini dalil
bahawa tidak boleh membunuh sesiapa daripada golongan kuffar yang
hanya beribadat seperti paderi kerana mereka tidak memudaratkan kaum
muslimin." *10
Keempat: Para pekerja dan petani. Jumhur ulama menyatakan mereka tidak
dibunuh. Dalilnya hadith Hanzalah al-Katib r.a., katanya:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ r فِي غَزْوَةٍ فَرَأَى النَّاسَ
مُجْتَمِعِينَ عَلَى شَيْءٍ فَبَعَثَ رَجُلًا فَقَالَ انْظُرْ عَلَامَ
اجْتَمَعَ هَؤُلَاءِ فَجَاءَ فَقَالَ عَلَى امْرَأَةٍ قَتِيلٍ فَقَالَ
مَا كَانَتْ هَذِهِ لِتُقَاتِلَ قَالَ وَعَلَى الْمُقَدِّمَةِ خَالِدُ
بْنُ الْوَلِيدِ فَبَعَثَ رَجُلًا فَقَالَ قُلْ لِخَالِدٍ لَا
يَقْتُلَنَّ امْرَأَةً وَلَا عَسِيفًا
Maksudnya:"Kami bereperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. , lalu
kami melintasi seorang wanita yang dibunuh. Ketika itu orang ramai
berkumpul padanya, lantas mereka memberi ruang kepada baginda (untuk
melihatnya). Baginda bersabda: "Dia ini (wanita tersebut) tidak turut
berperang". Kemudian baginda mengarahkan seorang lelaki, sabda
baginda: "Pergi kepada Khalid ibn al-Walid, katakan kepadanya:
"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkannya dengan sabdanya:
Jangan kamu bunuh kanak-kanak (dalam sebahagian riwayat: wanita) dan
`asif (pengambil upah)." *11
Kata al-Sindiy (wafat 1138H): "Maksud pengambil upah di sini ialah
yang mengambil upah menjaga tunggangan atau seumpamanya, bukan
pengambil upah berperang." *12 Antara tanda pengambil upah ialah
mereka tidak bersenjata. *13
Mungkin termasuk juga di dalam pengambil upah ini ialah mereka yang
hanya bertugas menyediakan makanan, atau yang membersihkan kem tentera
dan seumpamanya. Selagi mereka tidak bertindak membantu peperangan,
maka mereka tidak dibunuh.
Kelima: Para perwakilan dan diplomat. Ini berdasarkan hadith Abdullah
bin Mas`ud, katanya: Ibn al-Nawahah dan Ibn Uthal datang kepada Nabi
s.a.w sebagai perwakilan Musailamah (al-Khazzab). Baginda bertanya:

لَهُمَا أَتَشْهَدَانِ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ قَالَا نَشْهَدُ أَنَّ
مُسَيْلِمَةَ رَسُولُ اللَّهِ فَقَالَ النَّبِيُّ
آمَنْتُ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ لَوْ كُنْتُ قَاتِلًا رَسُولًا
لَقَتَلْتُكُمَا قَالَ عَبْدُ اللَّهِ قَالَ فَمَضَتِ السُّنَّةُ أَنَّ
الرُّسُلَ لَا تُقْتَلُ
Maksudnya:"Apakah kamu berdua mengakui bahawa aku ini Rasulullah".
Kata mereka berdua: "Kami menyaksikan bahawa Musailamah rasulullah".
Sabda Nabi s.a.w: "Aku beriman dengan Allah dan para RasulNya.
Kalaulah aku ini boleh membunuh para perwakilan, nescaya aku bunuh
kamu berdua". Kata 'Abdullah bin Mas`ud: "Telah menjadi suatu sunnah
bahawa para perwakilan tidak dibunuh." *14
Kata Syams al-Haq al-Abadi: "Pada hadith ini dalil yang menunjukkan
haramnya membunuh para perwakilan." *15
Demikian tingginya nilai tamadun yang dipegang oleh Islam sejak 1400
tahun lebih yang lalu. Ketika dunia belum lagi celik dan mengenali
batasan-batasan peraturan dan hak asasi, Islam telah menggariskan
peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan
antarabangsa. Bukan sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan,
bahkan atas nama agama yang membabitkan persoalan halal dan haram
serta perhitungan pada hari kiamat. Ini semua adalah bukti bahawa
tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak berperikemanusiaan adalah
palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak di atas teks Islam yang
sebenar. Islam sebenarnya telah mendahului tamadun dan peradaban yang
wujud pada hari ini.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ عَنِ النَّبِيِّ أَنَّهُ
كَانَ إِذَا دَخَلَ الْمَسْجِدَ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ
وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيمِ وَسُلْطَانِهِ الْقَدِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ
الرَّجِيمِ قَالَ أَقَطْ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَإِذَا قَالَ ذَلِكَ قَالَ
الشَّيْطَانُ حُفِظَ مِنِّي سَائِرَ الْيَوْمِ
أخرجه أبو داود وصححه الألباني
RUJUKAN
*1 - Riwayat Ahmad, kata Ahmad Muhammad Syakir ketika mentahqiqkan
musnad Ahmad, hadith ke-2728: "Sanad hadith ini hasan"
*2 - Riwayat al-Bukhari dan Muslim
*3 - Surah al-Baqarah: 190
*4 - al-Syafi`iy, al-Umm (Dar al-Ma'rifah, Beirut) 4/239.
*5 - Ibn Rusyd, Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Fikr, Beirut) 1/280.
*6 - Surah al-Baqarah: 190.
*7 - Riwayat Abu Daud sanadnya dha`if.
*8 - Ibn Daqiq al-`Id, Ihkam al-Ahkam إحكام الأحكام (Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah, Beirut) 4/184.
*9 - Syams al-Haq Abadi, `Aun al-Ma'bud, jld 7, m.s. 196, cetakan Dar
al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut
*10 - Al-Syaukaniy, Nail al-Autar (Dar al-Jil, Beirut) 8/74.
*11 - Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad. Sanad Ibn Majah adalah
sanad yang sahih. Al-Albaniy juga di dalam Silsilah al-Ahadith
al-Sahihah (hadith ke-701) menyatakan sahih. lihat: 2/314, (Maktabah
al-Ma`arf li al-Nasyr, Riyadh)
*12 - al-Sindiy, Syarah Sunan Ibn Majah (Dar al-Ma'rifah, Beirut) 3/380.
*13 - `Aun al-Ma'bud, 7/236.
*14 - Riwayat Abu Daud, Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la kata al-Haithamiy
(wafat 807H):Sanad-sanad mereka adalah hasan. Lihat: al-Hathaimiy,
Majma' al-Zawaid (Dar al-Rayyan, Beirut) 5/314.
*15 - `Aun al-Ma'bud, 7/314

Tiada ulasan: