Khamis, September 14, 2006

Pernikahan paling diberkati yang paling sedikit mas kahwinnya

Sedutan: Harakahdaily.net

Dalam artikel lalu, antara lain, penulis menyatakan: "Kata ustaz itu,
antara calon isteri yang baik ialah yang murah mas kahwinnya. Hal ini
termasuklah wang hantarannya, tidaklah terlalu mengada-ngada seperti
orang sekarang, hendakkan RM11,111.11 atau RM22,222.22 atau
RM33,333.33 atau RM44,444.44. Hidup biarlah berpada-pada, janganlah
nak riak, nak menunjuk-nunjuk. Semuanya akan membawa kehancuran.
Sia-sia saja amal perbuatan sedangkan kita hendakkan keredaan Allah
SWT. "

Apa yang ditulis pada keluaran lalu, benar-benar berlaku sekarang ini.
Sebagai seorang Muslim dan bapa kepada beberapa orang anak remaja yang
akan berkahwin suatu masa nanti, eloklah penulis menyentuh hal ini
supaya masyarakat Islam dapat bersama-sama membanteras gaya hidup baru
yang tidak Islamik ini.

Kebetulan kelas pengajian kuliah Subuh yang penulis ikuti di masjid
sekarang ini membiacara soal nikah. Ustaz terbabit tidak terlepas
daripada memberitahu jemaah bahawa perkahwinan dengan hantaran wang
sebegitu banyak bukan daripada ajaran Islam.

Beliau memberitahu dua sebab mengapa amalan berkenaan mesti ditentang
selain daripada membazir dan menunjuk-nunjuk. Pertamanya ia dikhuatiri
akan menjadi contoh kepada masyarakat dan yang kedua perkahwinan gah
begini akan mengecilkan hati orang miskin dan tidak mampu.

Jika orang berada dan berpangkat berbangga dan menghebahkan seluruh
negara akan hantaran dan pemberian hadiah yang sebegitu besar,
dikhuatiri ia akan menjadi panduan masyarakat. Tidak menghairankan
jika bakal keluarga pengantin perempuan akan menuntut wang hantaran
sekurang-kurangnya RM10,000, RM15,000 dan RM20,000.

Ada akan jadi dengan masyarakat jika keadaan ini berlaku? Mampukah
anak-anak muda yang baru bekerja atau keluar dari universiti
menyediakan jumlah wang sebegini besar sedangkan keinginan mereka
untuk kahwin sudah memuncak.

Seorang anak muda lulusan universiti (untuk ijazah pertama) ketika
mula bekerja sudah berusia 23 tahun. Gaji permulaannya mungkin RM1,300
sebulan. Ditolak dengan bayaran pinjaman pendidikan, pinjaman kereta,
sewa bilik, pemberian kepada keluarga dan pelbagai perbelanjaan lain,
mungkin dia dapat menyimpan RM200 sebulan.

Jika dihitung setahun, dia baru mampu mengumpul RM2,400. Kalau 10
tahun menghimpun, dia baru mengumpulkan RM24,000. Ketika itu pun
umurnya sudah terlajak ke 33 tahun.

Bagi kebanyakan anak muda, pada usia 25-30 tahun, mereka sudah 'gatal'
untuk kahwin. Tapi wang tiada. Disebabkan oleh 'segolongan manusia'
yang gila glamour dan sebagainya, ibu bapa 'buah hati' mereka akan
tetapkan wang hantaran melampau seperti RM10,000, RM20,000 atau
RM30,000. Cuba bayangkan bagaimana anak muda kita hendak 'cekau' duit
sebegitu banyak bagi membolehkan mereka kahwin?

Bukankah ini akan menimbulkan masalah besar dalam masyarakat. Bukankah
akan berlaku fitnah paling hebat dalam masyarakat? Anak-anak muda yang
kemaruk untuk kahwin tetapi tidak dapat kahwin akan menerbitkan
rangkaian masalah yang bukan saja menjejaskan masyarakat tetapi juga
negara, bangsa dan agama.

Ustaz itu bertanya betapa banyak bakal pengantin dan keluarga
pengantin cuba mendalami pengajian agama. Katanya, tidak ramai sebab
kebanyakan manusia hari ini mengejar dunia dan segala perhiasannya.
Jika mereka tahu ilmu agama tidaklah mereka berbuat seperti hari ini.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Sebesar-besar berkat
penikahan ialah yang sedikit mas kahwinnya."

Apa sebenarnya yang sedang berlaku kepada masyarakat kita? Nampaknya,
masyarakat sedang menuju ke arah fitnah terbesar sedangkan sebahagian
besar anggotanya tidak menyedarinya. Mereka yang mengaku beragama
Islam tidak lagi hidup berpandukan ajaran Rasul tetapi mengikut hawa
nafsu yang berdasarkan logik akal masing-masing.

Dalam bab perkahwinan ini pun, orang Islam tidak mengikut contoh yang
ditunjukkan Rasulullah s.a.w. tetapi membiarkan diri mereka terjerumus
ke dalam lembah yang ditunjuki oleh orang Yahudi dan Nasara.

Misalnya, dalam bab berpakaian, orang Islam yang berkahwin pun
mengikut telunjuk Yahudi dan Nasara. Sedangkan sudah jelas dinyatakan
salah satu perkara yang membezakan antara orang Islam dengan orang
Islam ialah dari segi berpakaian.

Jika pengantin wanita Islam memakai pakaian yang mendedahkan tubuh
badan mereka, apakah yang membezakan antara diri mereka dengan orang
bukan Islam? Jika mereka memakai gaun menunjukkan sebahagian buah dada
atau telanjang belakang (bare back), apa bezanya mereka dengan orang
bukan Islam.

Jika Allah SWT mengancam menghumbankan si kufur ke lembah azabnya,
apakah jaminan untuk orang Islam yang hidup mengikut telunjuk Yahudi
dan Nasara tidak sama dicampakkan ke sana.

Alangkah peliknya sesetengah anggota masyarakat kita hari ini. Ramai
daripada kita hidup bagai 'sumpah-sumpah' yang boleh bertukar 'color'
(warna). Jika nikah di masjid, boleh pakai tudung litup, majlis
bersanding boleh pakai gaun dedah sana dedah sini. Jika khatam Quran,
begitu manis bersopan bertudung litup tetapi pada majlis jamuan,
tudung ke mana, pakaian seksi juga jadi kebanggaan.

Yang dibimbangi, golongan ini akan menjadi ikutan, 'set trend' dalam
masyarakat. Akan timbullah kata-kata seperti, 'si dia tu boleh buat
begitu, kenapa kita tidak boleh?' 'Si dia tu, boleh bikin pelamin
dalam masjid, kenapa kita tidak boleh?' 'Anak dia dapat hantaran
RM22,222.22, kenapa anak kita tidak boleh dapat RM33,333.33 kerana
anak dia lulus SPM saja sedangkan anak kita lulusan universiti luar
negara?'

Ustaz kuliah Subuh itu cukup bimbang, perkembangan hal ehwal kahwin di
negara kita sedang menuju apa yang berlaku di sesetengah negara Arab.
Katanya, di negara berkenaan, adalah sukar seorang bujang berkahwin
kerana tuntutan keluarga pengantin perempuan terlalu banyak dan
tinggi. Misalnya, menyediakan rumah, kereta dan pembantu rumah.

Mampukah si bujang menyediakan kemewahan ini sedangkan mereka 'baru
nak kenal hidup'. Ramailah anak bujang Arab, jadi bujang terlajak.
Ramai yang kahwin warga asing dan tak kurang juga yang hanyut di
kota-kota maksiat seperti Bangkok, London dan Paris.

Jadi kepada mereka yang prihatin kepada kesucian Islam, marilah
sama-sama membanteras amalan kurang sihat yang mula menular dalam
masyarakat kini. Tidak kiralah sama ada anda ustaz, jurutera, tukang
masak, pekedai, atau orang kaya raya atau berpangkat, marilah
bersama-sama kita melawan golongan yang hidup tidak berpandukan agama
ini.

Antara langkahnya boleh dimulai dengan keluarga sendiri. Janganlah
kita mengada-ngada meletakkan hantaran anak-anak kita RM1/2 juta,
RM222,222.22, RM77,777.77 atau RM22,222.22. Ingatlah pernikahan paling
diberkati adalah yang paling sedikit mas kahwinnya seperti disabdakan
oleh junjungan besar kita.

Tiada ulasan: