Jumaat, Julai 22, 2005

Melewat-lewatkan Solat

Soal Jawab Oleh Dr. Amran Kasimin

SOALAN:

Saya berumur 53 tahun, dan terlalu jarang meninggalkan sembahyang.
Masalah saya ialah terlalu liat hendak sembahyang di awal waktu.
Kadang-kadang saya sembahyang isyak pukul 4 pagi, lepas itu terus sembahyang
taubat, tahajud dan sebagainya, Kalau dapat ustaz beri saya petua untuk
mengatasi masalah saya. - AMINAH AMIN, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Apabila Allah telah sempurna menjadikan Adam, Allah memerintahkan semua
malaikat sujud kepada Adam, sebagai menghormati kejadian Allah.
Sujud ini diistilahkan sebagai ``sujud tahyat''. Semua malaikat sujud,
kecuali iblis.Ketika ditanya sebab keengganannya, iblis menyatakan bahawa
Adam itu dijadikan daripada tanah, pada hal dirinya dijadikan daripada api.
Api lebih mulia daripada tanah.

Akibat keengganannya itu, Allah menjadi murka, melaknat iblis, dihukumkan
kafir, dan akan dimasukkan dalam neraka. Menyedari kemurkaan Allah, iblis
merasakan bahawa semuanya terjadi adalah akibat daripada Adam, kerana itu
iblis (dan konco-konconya) bersumpah akan membinasakan Adam dan
keturunannya. Iblis bersumpah akan menipu manusia, menyebabkan manusia
tunduk kepada nafsu, merasakan apa yang diperintahkan Allah itu
buruk,manakala apa yang diharamkan, yang ditegah itu baik, menyebabkan
banyak manusia yang mengingkari perintah Allah.

Allah telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sembahyang lima
waktu,yang terlalu banyak memberi pengaruh dalam pembentukan peribadi yang
luhur.Sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan
kemungkaran. Bermaksud, bahawa sekiranya seseorang itu berupaya melakukan
sembahyang dengan betul, sah sembahyangnya, dan diterima oleh Allah, maka
orang yang berkenaan akan terhindar daripada perbuatan jahat dan
kemungkaran.

Atas pemahaman inilah, maka tidak pelik kenapa iblis dan syaitan itu
berusaha supaya manusia itu tidak melakukan sembahyang. Leka dengan kerja
harian, mesyuarat, berniaga, berforum, bertemu kawan, main bola di
padang,berdebat di meja persidangan dan sebagainya tanpa mempedulikan masuk
waktu sembahyang.

Iblis dan syaitan menguliti manusia supaya melupakan sembahyang.
Sembahyang mengganggu kerja-kerja dan urusan harian, manakala orang yang
hendak sembahyang, akan didatangi oleh iblis dan syaitan supaya
melambat-lambatkan sembahyangnya seperti yang berlaku pada diri saudara.
Bagi orang yang tidur, iblis datang menguliti agar terus terlena, dan
langsung tidak sembahyang.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Nabi s.a.w. ada bersabda
menyatakan,apabila seseorang itu tidur, iblis akan mengikat di atas kepala
orang yang berkenaan tiga ikatan. Iblis berkata, kau mempunyai masa tidur
yang panjang. Tidurlah! Apabila orang yang berkenaan terjaga dari tidur,
lalu menyebut nama Allah, maka terhurailah satu ikatan. Apabila ia
berwuduk,maka terhurailah ikatan yang kedua, dan apabila orang yang
berkenaan sembahyang, terhurailah ikatan yang ketiga. Dengannya orang yang
berkenaan akan menghadapi waktu pagi dalam keadaan cergas, kalau tidak dia
akan menghadapi waktu pagi dengan malas lagi monyok.

Apabila seseorang itu berwuduk, kumpulan iblis yang dinamakan
``Al-Wilhan''akan datang mengganggu orang yang berkenaan, sehingga
menyebabkan ada orang yang mengambil wuduk berjam-jam lamanya sehingga basah
kuyup. Apabila seseorang itu mendirikan sembahyang, iblis dan syaitan akan
mengganggu manusia ketika sembahyang; ketika sedang berniat, iaitu ketika
membaca takbiratul ihram, menyebabkan niat itu dilakukan berulang kali.
Ketika membaca Al-Fatihah, iblis dan syaitan mengganggu manusia, menyebabkan
sesetengah orang mengulangi kalimah-kalimah Al-Fatihah berulang kali.

Terlalu banyak gangguan iblis dan syaitan ketika seseorang itu sedang
sembahyang. Ada orang yang rasa terkentut ketika sembahyang, atau terasa
terkeluar air kencing pada hal ketika di luar sembahyang, gangguan seumpama
ini tidak berlaku. Begitu juga dengan gangguan lain, iaitu dengan
mendatangkan pelbagai ingatan yang telah berlalu, ketika berada di
pejabat,ketika mesyuarat, termasuk harga saham yang menjunam, harga kelapa
sawit yang sedang menurun dan sebagainya. Semua ingatan ini datang
menyelinap dalam ingatan orang yang sedang sembahyang, semata-mata supaya
seseorang itu tidak ada rasa khusyuk ketika sembahyang.

Fenomena yang dijelaskan di atas ini membuktikan bahawa gangguan iblis dan
syaitan ketika seseorang itu sedang sembahyang bukan satu rekaan, atau
bidaah semata-mata, tetapi ia memang benar-benar berlaku.
Rasulullah menyuruh setiap orang itu berwaspada daripada gangguan iblis dan
syaitan.Petua untuk mengatasi masalah bagi orang yang suka
melambat-lambatkan sembahyang adalah mudah, iaitu sembahyang sebaik-baik
sahaja masuk waktu sembahyang. Apabila saudara dapat melakukannya, pada satu
tahap tertentu,saudara akan merasa tidak senang, rasa gelisah selagi saudara
tidak mendirikan sembahyang. Dan apabila saudara telah sembahyang, saudara
akan merasa lega, nikmat dan tenang kerana telah menyempurnakan sesuatu yang
difardukan ke atas saudara. Ketika itu saudara akan benar-benar berupaya
menghayati ibadah sembahyang, dan tentunya tidak akan bermasalah untuk
mendirikan sembahyang di awal waktu.

Allah menjelaskan seperti yang tersebut dalam surah Maryam: 58 tentang
mereka yang diberi nikmat Allah, yang terdiri daripada para nabi dari
keturunan Adam, iaitu Nabi Noh, Ibrahim, Nabi Musa (Maryam: 51), Harun
(Maryam: 53), Nabi Ismail, juga Nabi Idris (Maryam:56). Apabila dibacakan
ayat-ayat Allah yang maha pemurah kepada mereka,mereka menyungkurkan diri
bersujud dan menangis (Maryam: 58).

Dalam Surah Maryam: 59-60 tersebut firman Allah: Maka datanglah sesudah
mereka pengganti yang mensia-siakan sembahyang dan menurutkan hawa nafsunya,
maka mereka kelak akan menemui kesesatan, kecuali orang yang bertaubat,
beriman dan beramal soleh.

Menurut Ibn Abbas, yang dimaksudkan dengan ``mensia-siakan sembahyang'' itu
bukan mereka yang meninggalkan semua sembahyang, tetapi mereka yang
mengtakhirkan atau melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.

Menurut Said bin Al-Musayyab, seorang ketua golongan tabiin, seorang
daripada tujuh orang fuqaha yang terkenal di Madinah, yang dimaksudkan
dengan ayat di atas ialah orang yang tidak sembahyang zuhur hinggalah tiba
sembahyang asar, tidak sembahyang asar hinggalah tiba maghrib, dan tidak
sembahyang maghrib hinggalah tiba waktu isyak, dan tidak sembahyang isyak
hinggalah terbit fajar, dan tidak melakukan sembahyang subuh sehinggalah
naik matahari. Barang siapa mati, apabila ia terus menerus dalam keadaan
sedemikian rupa, dan tidak pula bertaubat, Allah memberi amaran
balasan``Al-Baqhy'' untuknya. Al-Baghy itu ialah satu lembah yang terdapat
dalam Neraka Jahanam yang dalam lagi kotor makanan penghuninya.

Sa'd bin Abi Waqaas, seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga, di
antara orang yang awal memeluk Islam berkata, beliau telah bertanya kepada
Rasulullah s.a.w. tentang mereka yang lalai terhadap sembahyang.Baginda
menjawab menyatakan bahawa mereka itu adalah orang yang melambat-lambatkan
sembahyang. Mereka sembahyang tetapi mengambil ringan menyebabkan sembahyang
di akhir waktu. Allah menjanjikan mereka ``Neraka Wail'', iaitu satu neraka
yang amat sakit azabnya. Sesetengah ulama menyatakan Neraka Wail adalah satu
lembah yang terdapat dalam Neraka Jahanam. Seandainya dilalukan bukit-bukit
yang terdapat di dunia ini diatasnya, nescaya cair semuanya kerana sangat
panas. Neraka itu adalah tempat tinggal mereka yang lalai terhadap ibadah
sembahyang kecuali mereka yang menyesal dan bertaubat.

Dalam Surah Al-Munafiqun:9 dijelaskan bahawa orang yang dilalaikan oleh
harta juga anak-anak adalah terdiri daripada golongan orang yang rugi:Wahai
orang yang beriman,janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu
daripada mengingati Allah. Barang siapa berbuat demikian,mereka adalah orang
yang rugi.

Ahli-ahli tafsir menafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan
perkataan,``mengingati Allah'' itu adalah sembahyang lima waktu. Maka barang
siapa yang sibuk dengan hartanya, dengan berjual beli, urusan
harian,kehidupannya, kilang, untung rugi, juga urusan anak-anaknya, daripada
mendirikan sembahyang pada waktunya, maka mereka adalah termasuk dalam
golongan orang yang rugi.

Dijelaskan dalam sebuah hadis, riwayat oleh Al-Bayhaqiy, atau namanya yang
sebenar Abu Bakar, Ahmad bin Al-Husain bin Ali, seorang imam hadis, yang
dilahirkan pada tahun 384 Hijrah, bahawa Umar bin Al-Khattab, telah berkata,
telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w. Be-liau bertanya: Ya
Rasulullah, apakah amalan-amalan yang lebih digemari oleh Allah Taala dalam
Islam?
Baginda menjawab: Sembahyang dalam waktunya. Barang siapa meninggalkan
sembah-yang, maka tidak ada agama baginya.Sembahyang itu tiang agama.

Ketika Sayyidina Umar ditikam oleh Abu Lu'luah Al-Majusi, telah diberitahu
kepadanya: Sembahyang wahai Amirul Mukminin. Beliau
menjawab: Ya. Sesungguhnya tidak ada tempat bagi seseorang dalam Islam yang
meninggalkan sembahyang. Beliau telah menunaikan sembahyang pada hal
darahnya mengalir dari liang luka.

Dalam sebuah hadis lain dijelaskan bahawa Baginda s.a.w. ada bersabda:
Barang siapa mengumpulkan dua sembahyang tanpa uzur, maka dia sesungguhnya
telah mendatangi satu pintu yang besar daripada pintu-pintu dosa besar.
Memang benar orang yang melambat-lambatkan sembahyang itu telah menunaikan
kewajipan yang tertanggung ke atasnya, tetapi berdasarkan kepada dalil-dalil
al-Quran, juga hadis-hadis, mereka yang berbuat demikian diberi amaran oleh
Allah dengan azab yang pedih. Ini memperlihatkan bahawa mereka tetap
berdosa. Dalam masa yang sama ditakuti orang yang terlibat meninggal dunia
sebelum sempat mendirikan sembahyang pada hal waktunya telah
tiba.Sebenarnya, tidak ada formula atau petua bagi orang yang suka
melambat-lambatkan sembahyang kecuali terus bangun sembahyang sebaik-baik
sahaja masuk waktu. Selain daripada itu kesedaran tentang dosa dan amaran
Allah ke atas mereka yang bertabiat sedemikian rupa boleh menginsafkan
diri."

sumber:
http://www.raudhah.com/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=177
7&

Tiada ulasan: