Ahad, Julai 17, 2005

Pengalamanku bersama Syeikh Ahmad Yassin di dalam penjara

Sumber:
http://www.palestinkini.info/modules.php?name=News&file=article&sid=427

Oleh : Saamir Khuwairah (wartawan www.islam-online.net) yang telah
menemuramah Ir. Farid Ziadah yang pernah mendiami sel penjara bersama
as-syahid Syeikh Ahmad Yassin.

Ketika pihak rejim Zionis Israel memberikan peluang kepada tahanan HAMAS di
penjara pusat Nablus untuk ditukarkan ke Kufr Yuna pada tahun 1994, Farid
Ziadah , salah seorang aktivis HAMAS yang dipenjarakan oleh pihak rejim
Zionis tidak melepaskan peluang tersebut. Ini kerana itulah sahaja
peluangnya untuk bertemu dengan seorang individu yang hebat yang sentiasa
beliau impikan untuk bertemu dengan individu tersebut.

Ketika beliau ditemui untuk di wawancara di rumahnya di sebuah kampung yang
bernama Madama di Selatan Nablus, beliau telah mengimbas kembali kenangannya
bersama Syeikh Ahmad Yassin di penjara Kufr Yuna yang tidak dapat
dilupakannya. Beliau telah menceritakan bagaimana sepanjang tempoh beliau
bersama dengan Syeikh Yassin di dalam satu sel untuk berkhidmat kepada
pejuang agung tersebut dan amat berbangga dengan tempoh yang beliau habiskan
untuk khidmat tersebut.

Ziadah menceritakan: Ianya semua bermula apabila para tahanan HAMAS
diberikan peluang untuk berpindah ke penjara Kufr Yuna di mana Syeikh Yassin
tinggal. Saya tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk bertemu lebih
dekat dengan Syeikh Yassin yang merupakan satu gambaran kepada mukjizat
keimanan di zaman ini.

Ziadah menambah lagi : Bukan hanya saya seorang sahaja yang berusaha untuk
bertemu dengan Syeikh Yassin , malah ramai lagi yang terdiri daripada
penyokong-penyokong dan murid- murid Syeikh turut meminta untuk bersama
dengannya. Keadaan ini telah memaksa anggota- anggota HAMAS di penjara pusat
Nablus untuk melakukan undi bagi memilih siapa yang layak untuk dipindahkan
ke Kufr Yuna demi memberikan khidmat kepada Syeikh Yassin yang amat mereka
sayangi. Ditakdirkan oleh Allah, Ziadah telah terpilih untuk tugas yang
mulia tersebut.

Program seharian Syeikh Ahmad Yassin di penjara
Ziadah telah menceritakan hari-hari yang dipenuhi dengan kasih sayang,
kerinduan, keimanan yang dilalui olehnya bersama dengan Syeikh Yassin dan
juga keperitan yang dialaminya ketika berpisah dengan Syeikh tersebut,
walaupun perpisahan tersebut adalah untuk pembebasannya dari penjara. Jika
anda ingin memperkatakan tentang Syeikh Yassin, anda akan memperkatakan
tentang program -program hidupnya yang padat, dan seolah-olah tubuhnya yang
lemah itu bukanlah bekas untuk menampung ruh dan jiwanya yang besar dan
aktif tersebut.

Beliau mengatakan : Beliau sentiasa bangun pada pukul 3 pagi untuk
bertahajjud, membaca al-Quran sementara menantikan solat Subuh

Al-Quran sentiasa menjadi teman karib Syeikh Ahmad Yassin

Waktu-waktu selepas solat Subuh beliau habiskan untuk bersama dengan
tuhannya dengan membaca al-Quran. Waktu-waktu tersebut seolah- olah
melupakan beliau terhadap kesempitan hidup beliau di penjara dan membuka
keluasan rahmat Allah di hadapannya. Aktiviti tersebut berterusan
sehinggalah pintu sel dibuka untuk para tahanan keluar untuk bertemu di
antara satu dengan lain di dalam kawasan penjara.

Waktu tersebut digunakan oleh Syeikh untuk mengambil udara segar dan bertemu
dengan para tahanan yang lain. Ziadah dan juga rakan- rakan yang lain
memapah Syeikh yang ingin bersama dengan para tahanan lain yang melakukan
riadah. Ia menunjukkan seolah-olah Syeikh tidak mahu menyerah dengan lumpuh
yang dihadapinya, dan seolah-olah beliau ingin membuktikan kepada
pegawai-pegawai penjara bahawa beliau tetap bertenaga dan tidak akan
menyerah kalah.

Kami juga akan mengurut dan menggerak- gerakkan sendi-sendi Syeikh sebagai
salah satu daripada rawatan terapi untuk tubuhnya yang lumpuh itu, dan kami
bagai dapat merasakan darah yang mengalir itu terkandung di dalamnya
semangat perjuangan yang tidak akan terpadam. Selepas itu kami akan masuk
semula ke dalam sel, di mana Syeikh akan berwudhu dan bersolat dhuha,
sambung beliau.

Perpustakaan yang intensif di dalam sel yang kecil

Selesai sahaja solat, Syeikh akan mengkhususkan waktunya untuk ilmu. Dia
akan segera dibawa ke perpustakaan mininya yang intensif dengan pelbagai
buku di dalam selnya yang kecil. Beliau tidak jemu menatapi helaian-helaian
buku di perpustakaan tersebut demi menajamkan pemikirannya. Menurut Ziadah,
beliau bukan hanya membaca, malah daya ingatannya yang kuat telah
membolehkannya menghafal maklumat hatta isi kandungan buku-buku yang
dibacanya. Beliau amat menggemari buku gal-Bidayah wa al-Nihayah(buku
sejarah Islam) karangan Ibnu Kathir yang mengandungi 20 jilid. Beliau juga
sering meminta pembantu-pembantunya untuk menguji ingatan dan hafalannya
terhadap apa yang beliau dapat dari buku tersebut. Lebih menarik lagi,
beliau ingatkan muka surat yang terkandung di dalamnya maklumat yang beliau
telah baca.

Selesai aktiviti keilmuan, beliau akan bersolat Zohor bersama dengan
pembantu- pembantunya, dan akan tidur selepas itu selama sejam, dan apabila
beliau bangkit dari tidurnya beliau akan menghabiskan waktu menonton
rancangan berita televisyen, mendengar radio dan juga mendengar
nasyid-nasyid Islami. Beliau amat menggemari nasyid-nasyid Islami. Selepas
aktiviti tersebut, Syeikh akan segera ke perpustakaannya kembali untuk
membaca sehingga tiba waktu Asar. Selepas Asar beliau akan membaca al-Quran
yang menjadi wirid hariannya. Selesai sahaja menghabiskan wirid-wirid
tersebut, beliau aka n makan bersama pembantu-pembantunya. Mereka hanya
makan makanan yang mereka masak sendiri sahaja dan bukan yang disediakan
oleh pihak penjara. Selepas itu mereka keluar bersama untuk beriadah. Waktu
riadah mereka diasingkan daripada waktu riadah banduan-banduan jenayah, agar
mereka tidak bertemu dan tidak diganggu.

Syeikh akan kembali ke selnya untuk berwudhu dan mempersiapkan diri untuk
solat Maghrib bersama dengan yang lain. Usai solat Maghrib mereka akan
menunaikan solat sunat sambil menantikan waktu Isyak. Selesai solat Isyak,
mereka akan bertadarrus dan menyemak hafalan al-Quran mereka bersama Syeikh.

Tidak untuk bermalas-malasan dan membuang masa

Syeikh tidak sukakan keadaan santai dan bermalas-malasan pada waktu malam.
Beliau juga tidak suka berjaga sehingga lewat malam. Beliau juga amat
sedikit meminum teh dan tidak langsung meminum kopi. Biasanya mereka akan
berehat- rehat sahaja sebelum tidur.

Semangat Syeikh Ahmad Yassin membakar sehingga kini walaupun jasadnya hancur
di mamah roket rejim Zionis

Beliau juga seorang yang amat mudah mesra dan suka bergurau, tetapi tidak
berlebihan. Walaupun keluarganya tidak dapat menziarahinya selalu, namun
beliau tidak pula merasakan kesedihan seperti kebanyakan banduan yang
sentiasa merindukan ahli keluarga mereka.

Ziadah juga menceritakan bagaimana Syeikh menghidapi sakit perut dan
telinganya dan sentiasa sabar menghadapinya. Telinganya juga tidak dapat
mendengar dengan normal, malah para pembantunya sering memasangkan ear-phone
untuk Syeikh mendengar televisyen.

Rakan penjaraku

Ziadah juga sempat menceritakan ketajaman pemikiran Syeikh Yassin dan juga
keperibadiannya yang diwarnai dengan pelbagai warna politik, figur agamawan,
figur intelek dan juga universalitinya. Ini semua membuatkan Syeikh mudah
didampingi dan didekati oleh sesiapa sahaja.

Beliau sempat menceritakan perihal gelas kecil milik Syeikh Ahmad Yassin
yang kelihatan agak lama digunakan olehnya. Bila beliau menawarkan untuk
menggantikannya dengan yang baru, Syeikh segera menolak dan mengatakan gelas
itulah temannya di penjara semenjak dahulu lagi. Syeikh juga mengatakan saiz
gelas itu sesuai untuknya menyukat bilangan air yang diminumnya seharian.
Apabila dibalas oleh Ziadah bahawa beliau akan menggantikanya dengan gelas
yang baru yang sama saiz dengannya Syeikh segera menjawab : gApalah
untungnya menggantikan sesuatu yang lama dengan yang baru jika yang lama
masih lagi elok

Perpisahan yang memeritkan

Ketika Ziadah menceritakan saat perpisahan beliau dengan Syeikh, beliau
tidak dapat mengawal emosinya, dan air matanya bagaikan empangan yang pecah
tanpa dapat dihalang alirannya. Kata beliau , Ketika pengurusan penjara
memberitahu bahawa saya akan dibebaskan setelah selesai menjalani dua
pertiga dari tempoh tahanan saya, saya langsung tidak berminat untuk keluar
sepertimana halnya banduan-banduan yang lain. Saya merasakan keberadaan
bersama Syeikh Yassin di dalam penjara lebih berharga buat diri saya, namun
Syeikh memberikan semangat kepada saya untuk keluar dari penjara. Akhirnya
saya akur dan menurut perintah Syeikh lantas keluar meninggalkan penjara
tersebut.

Saat pengumuman pembebasannya oleh pihak mahkamah yang sepatutnya diserikan
dengan perasaan kegembiraan bertukar kepada tangisan kesedihan kerana tidak
sanggup menghadapi saat perpisahan dengan Syeikh Ahmad Yassin.

Seminggu sebelum tarikh pembebasannya dia berazam untuk mengumpul sebanyak
mungkin ilmu dari Syeikh, namun semuanya berkecai apabila dia diperintahkan
untuk dibebaskan dengan segera. Beliau walaubagaimanapun enggan meninggalkan
Syeikh selagi pihak penjara tidak menghantar pembantu baru untuk Syeikh.
Apabila seorang pembantu baru yang didatangkan dari penjara lain dihantar
kepada Syeikh Yassin, barulah dia dapat meninggalkan Syeikh tersebut.

Saat perpisahan yang dilaluinya amat sedih dan pilu dan tidak mungkin beliau
melupakannya. Dia masih terbayangkan bagaimana Syeikh Ahmad Yassin telah
menyuruhnya pergi selepas beliau memeluk Syeikh dan tenggelam di dalam
tangisannya. Susuk tubuh Syeikh melambaikan tangannya di lapang riadah masih
terbayang di dalam kotak pemikirannya sehingga kini. Perpisahan kali pertama
itu tidak akan dapat dilupakan sepertimana dia tidak melupakan perpisahan
kali kedua apabila tubuh Syeikh Ahmad Yassin hancur dimamah roket tentera
Israel.

Syeikh yang kuat berpuasa

Bukan hanya Ziadah seorang sahaja yang pernah berkhidmat untuk Syeikh Ahmad
Yassin. Sameeh Alawi, seorang anggota HAMAS dari Nablus juga pernah
berkhidmat untuk Syeikh di dalam penjara selama 100 hari. Hari-hari bersama
Syeikh Ahmad Yassin adalah saat-saat yang paling indah dalam hidupnya,
walaupun sepanjang 100 hari tersebut mereka ditempatkan di dalam sel yang
amat kecil yang tiada cahaya matahari dapat menerobos masuk ke dalamnya.

Sameeh ketika menceritakan perihal Syeikh Ahmad Yassin telah mengatakan :
Syeikh akan bangun pagi dua jam sebelum solat Subuh untuk menunaikan
Qiyamullail. Di siang harinya pula beliau amat rajin berpuasa. Beliau tidak
ketinggalan berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis. Beliau juga banyak
menghabiskan waktunya untuk membaca al-Quran, dan mendengarnya bersama
dengan para pemuda di penjara. Syeikh membaca 3 juzuk dalam sehari dan
mendengar bacaan al-Quran sejuzuk sehari. Syeikh amat gemar membaca buku
al-Bidayah wa al-Nihayah, mendengar berita dan juga menonton
rancangan-rancangan agama di T.V.

Menurut Alawi lagi : Para pemuda di penjara berlumba-lumba untuk berkhidmat
kepada Syeikh. Mereka juga gemar mendengar kata-kata dan juga
nasihat-nasihat Syeikh. Walaupun beliau tidak banyak bercakap, namun
kata-katanya yang sedikit itu penuh dengan hikmah dan pengajaran.

Antara mereka yang pernah berkhidmat untuk Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau
di dalam penjara ialah Syeikh Diyaf al-Samur dari Ramallah, di mana Syeikh
telah menulis surat kepadanya dengan menggunakan tulisan tangannya sendiri
dengan penuh kepayahan. Ini kerana Syeikh amat sayangkan beliau. Antara yang
lain juga ialah Syeikh Naaji Sinqrit dari Khalil (Hebron), Syeikh Sameeh
Zainuddin, seorang akauntan dari Bait Lid berdekatan dengan bandar Netanya,
Syeikh Nidhal Abu Saadah dari Bait Dujan, dan juga Ir. Farid Ziadah dari
Madama.

Hatta pegawai penjara pun sukakan Syeikh Yassin

Syeikh bukan hanya disukai oleh para pemuda muslim yang bersama dengannya,
yang lebih menarik lagi, para pegawai penjara Israel yang berketurunan
Yahudi pun ada yang mengkagumi dan menyukai beliau. Antaranya ialah salah
seorang pegawai penjara yang merahsiakan namanya telah mengatakan : Saya
tidak melihat apa-apa pun pada peribadi Syeikh Yassin yang menunjukkan
beliau seorang pengganas.

Saya merasakan ketenangan dan juga berasa senang sekali jika dapat
mengawalnya, hatta apabila berdiri berdekatan dengannya pun. Inilah yang
mungkin dapat dirasakan oleh para pemuda yang telah berkhidmat kepadanya

Beliau menambah : Saya sentiasa mengikuti perkembangan beliau (Syeikh) di
dalam penjara ketika beliau bersama rakan-rakanya. Dan saya dapat merasakan
bahawa HAMAS akan mengamuk jika Syeikh ini diapa-apakan oleh sesiapa pun.
Beliau adalah bapa spiritual kepada HAMAS!. (Kenyataan ini telah dinyatakan
oleh pegawai berkenaan di dalam sebuah rancangan Talk Show di salah sebuah
rangkaian Televisyen Israel pada malam Sabtu 3 / 4 / 2003).

Note: sumber : maszlee malek"

Tiada ulasan: