Rabu, Januari 11, 2006

Produk Halal: cabaran Usahawan Muslim

Produk halal: Cabaran usahawan muslim
Oleh Raja Yusoff Ariffin

HARI ini 95 peratus industri halal tempatan dikuasai usahawan bukan Islam. Pelancong dari Arab yang datang ke Malaysia menikmati makanan halal di premis bukan Islam berikutan kurangnya premis makanan yang dimiliki orang Islam.

Orang Arab terbabit sudah tentu menganggap orang Islam Malaysia tidak berusaha menghasilkan makanan halal.

Memang ada usahawan Islam yang bersungguh-sungguh mahu menembusi pasaran.

Di seluruh negara sekarang ada kira-kira 8,000 restoran Muslim. Bagaimanapun, bilangan orang Islam yang memiliki kilang memproses makanan seperti mi dan bihun boleh dibilang dengan jari.

Justeru, jika strategi tidak dilakukan, usahawan Muslim akan pudar dan akhirnya lenyap. Ini berikutan produk halal kini bukan lagi semata-mata isu agama Islam, tetapi sudah menjadi persoalan dalam bidang bisnes dan perdagangan.

Jaminan halal kini sudah menjadi simbol global bahawa produk yang bersangkutan terjamin kualitinya. Selain itu, masyarakat dunia sekarang ini cenderung memilih produk yang berlabelkan halal, hingga menjadi semacam gaya hidup, kata Jumaatun Azmi, Pengarah KasehDia Sdn Bhd, penerbit majalah Jurnal Halal.

Jurnal yang terbit dua bulan sekali itu menjadi buku panduan mengenai produk halal. Sesuai dengan namanya, jurnal berkenaan berisi informasi dan perkembangan mengenai produk halal di pasaran dunia yang merangkumi makanan, ubat-ubatan, bioteknologi dan perbankan.

Bisnes produk makanan halal sekarang ini mencecah AS$500 juta setahun.

Menurut Jumaatun, pasar produk halal sangat besar dan luas.

Di sesetengah negara maju, ada kalangan bukan Islam memilih produk berlabel halal berikutan mereka percaya produk halal bersih dan suci.

Bagaimanapun, di tengah sambutan yang meningkat dari kalangan pengguna Islam dan bukan Islam kepada produk halal, ada kalangan pengusaha rakus menyalahgunakan label halal atau memalsukannya.

Apakah pengguna di negara kita menggunakan atau dipergunakan? Persatuan Pengguna Islam Malaysia menganggap pengguna dipergunakan, bukan menggunakan.

Di negara kita, restoran yang menghidangkan ayam suntik atau seludup masih selamat tanpa menerima sebarang tindakan undang-undang. Ada juga restoran bukan Islam menampal tanda halal palsu untuk menarik pelanggan Muslim. Diharap pengguna Islam tidak tertipu tanpa berfikir panjang.

Kuih bulan pun kini berlogo halal. Seorang usahawan mengaut keuntungan RM16 juta setahun kerana membekalkan kuih bulan. Apabila logo halalnya dipertikaikan, keuntungannya menurun menjadi RM4 juta.

Pemantauan penyalahgunaan tanda halal dan pemalsuan tanda halal juga tidak konsisten. Penguatkuasaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menyengat berikutan kekurangan anggota. Jadi, pendekatan lain perlu diambil. Khabarnya, Jakim juga sudah tidak lagi membuat pemantauan di luar negara.

Dalam rangka menerjah orang Islam dalam menghasilkan produk halal, ada yang menyarankan agar peniaga Muslim perlu melihat tujuh syarat untuk menjadi usahawan berjaya iaitu kesedaran, niat, agenda, perancangan, pelaksanaan, berterusan dan lakukan sekarang.

Aneh dan malang, ini semua dilakukan usahawan bukan Islam. Justeru, apabila orang Melayu atau Muslim mahu berniaga, satu perkara penting ialah perlu mengatasi masalah dalam diri mereka sendiri terlebih dulu.

Namun, timbul masalah kerana kebanyakannya bukan daripada keluarga usahawan. Mereka cuma memiliki modal dan minat lalu ghairah mahu berniaga serta mengaut untung segera.

Oleh kerana bukan terlatih atau dari keluarga usahawan, maka ilmu, semangat serta ketabahan tidak dimiliki. Akhirnya, apabila diuji cabaran kecil saja, terus mengalah. Usahawan Muslim perlu menghapuskan budaya negatif dalam diri mereka terlebih dulu.

Sebenarnya, budaya jelek ini juga ada dalam masyarakat bukan Islam. Cuma, usahawan bukan Islam lebih sabar (sepatutnya umat Islam yang lebih bersabar). Mereka juga bersungguh-sungguh membantu bangsanya sendiri berniaga.

Namun, jika pun mendapat sokongan semua, peniaga Muslim masih perlu dan terpaksa berhadapan dengan kebijaksanaan peniaga bukan Islam. Jadi, umat Islam yang mahu menjalankan bisnes hari ini kelihatan lebih berisiko daripada pergi berperang!

Jika bisnes orang Melayu/Islam tidak disokong orang Melayu/Islam, pendapatan mereka mengecut atau menurun. Ada gesaan dibuat agar usahawan mengikut selera dan permintaan pelanggan. Dengan ini bermakna mereka perlu lebih proaktif, bersungguh-sungguh dan serius.

Jadi, usahawan Muslim perlu mempunyai jaringan di kalangan mereka untuk menyebar luas perniagaan dan perkhidmatan yang disediakan selain mewujudkan kerjasama dengan usahawan bukan Islam.

Ada kalangan usahawan Muslim mengambil Muslim yang kurang kemahiran. Mereka wajar diselia mengenai cara melaksanakan tugasan. Asalkan mereka sanggup belajar dan bekerja keras, sudah pasti prestasi mereka dan syarikat meningkat.

Bagaimanapun, ada juga yang benak, buta hati dan berjiwa lemah berpunca dari banyak 'mencuri tulang' sewaktu bekerja. Dari segi Islam, perbuatan ini tiada keberkatan.

Perlu disedari bahawa tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Usahawan Muslim perlu sanggup bersusah payah. Mereka perlu saling membantu sesama sendiri.

Sebagai pusat pertumbuhan baru makanan halal di tengah kehidupan kosmopolitan pelbagai agama, bangsa, budaya dan bahasa, perkembangan produk halal wajar didukung oleh usahawan Muslim. Inilah cabaran yang harus disambut usahawan Muslim.

Sumber asal: Harian Metro

--
Al-faqirah ilaLLah:
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami, jihad jalan kami, syahid cita-cita kami" adiemad
012-2900354
NADIE SAKURA E-SHOP
http://www.adiemad.com/ver2
1. Air Market
2. Jualan Busana Muslimah, Bahan-bahan ilmiah dll.
3. Ruangan Iklan Untuk Disewa
4. Artikel2 Menarik Dan Berita2 Terkini
5. Radio Online Dll