Rabu, Mac 01, 2006

Akhirnya kutemui al-Ghazzali....

Sumber: Alfikrah
 
AKHIRNYA KUTEMUI AL-GHAZZALI     31.08.2005


Pagi itu semasa saya sedang sibuk dengan urusan di pejabat, saya
menerima panggilan telefon daripada Encik Saharom, Ketua Editor
Majalah I. Beliau meminta supaya saya menulis satu tajuk yang amat
membingungkan. Selalunya saya menawarkan diri menulis tajuk-tajuk
yang saya mahir, tetapi kali ini Encik Saharom meminta saya
mempertahankan seorang tokoh yang tidak saya kenali iaitu Imam
Ghazzali! Terkasima saya seketika... masa yang diberikan untuk
menyiapkan artikel tersebut adalah dua minggu. "Minta maaf Encik
Saharom, dua minggu tidak mungkin bagi saya untuk memenuhi permintaan
ini". Akhirnya dua minggu tersebut berubah menjadi dua bulan!

Saya sudah mengetahui tentang Imam Ghazzali semenjak saya di bangku
sekolah rendah lagi. Arwah Abah mengumpul duit berbulan-bulan untuk
membeli kitab terjemahan Ihya' Ulumiddin dan saya cuba berkongsi
pembacaan dengan arwah Abah. Namun usia terlalu muda pada masa itu
dan arwah Abah kembali kepada Allah ketika saya dengannya sudah mula
berjinak-jinak dan lunak dengan Ihya'.

 
Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Jordan, saya membina persepsi
separa sedar tentang Imam Ghazzali. Saya tahu beliau seorang tokoh
agung di dalam Islam, beliau adalah hujah Islam, beliau adalah nama
yang tidak boleh dipinggirkan oleh penuntut ilmu Islam. Namun semasa
itu saya kecewa kerana saya gagal menghayati di manakah sebenarnya
kehebatan Imam Ghazzali. Punca utama kegagalan saya pada masa itu
adalah berkisah kepada dua persoalan iaitu kelemahan hadith di dalam
penulisan Imam Ghazzali dan yang keduanya ialah soal Falsafah.

Saya rasa tersentuh dengan kitab Ihya tetapi saya terganggu dengan
hadith-hadith di dalam kitab tersebut. Banyak sekali hadith yang saya
tidak kenal dan tidak tahu di mana hendak mencari maklumat mengenai
statusnya. Saya amat bimbang membiarkan diri saya tersentuh
oleh 'rasa' yang ketara di dalam kitab Ihya' kerana bagi saya, ia
adalah suatu gerak hati yang amat mudah untuk dicengkam belitan tipu
daya Iblis. Masakan tidak, solat di rumah terasa khusyu', solat di
masjid sering terganggu. Mulut bau petai, stokin jemaah busuk, penuh
tahi cicak dan macam-macam gangguan solat di masjid. Maka jika hendak
mengikut 'rasa', akhirnya dengan mudah saya boleh mengambil keputusan
untuk solat sahaja di rumah, dan... menanglah syaitan di dalam tipu
dayanya.    


Manakala soal kedua, Jordan tidak menyediakan subjek Falsafah bagi
pelajar Syariah. Saya pernah belajar ilmu logik semasa di sekolah
menengah, sebagai muqaddimah kepada Falsafah. Saya juga tahu ilmu
Falsafah itu penting terutamanya ketika mendengar huraian-huraian
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang banyak menggunakan suntikan Falsafah.
Falsafah Tuan Guru mudah, tajam dan konklusif. Tetapi tidak di
Jordan. Saya mendapat persepsi yang negatif terhadap Falsafah dan
saya memang membencinya. Tambahan pula, pensyarah-pensyarah yang
mengajar subjek Falsafah di universiti sering kelihatan 'ego' dengan
falsafah mereka seolah-olah orang lain tiada kualiti intelek.

Saya cuba menghadiri satu dua kuliah Falsafah di fakulti lain namun
saya tenggelam punca. Tetapi kerana sedar tentang perlunya saya
mendapatkan asas Falsafah, akhirnya saya membeli beberapa buah buku
berkaitan Falsafah. Mudah-mudahan kalau saya tidak membacanya hari
ini, mungkin suatu hari nanti saya memerlukannya. Tetapi ada suatu
buku yang menarik perhatian saya iaitu kitab Qissatul Iman oleh
Sheikh Nadim al-Jisr. Di dalam kitab tersebut saya membaca tentang
perjalanan penulisnya di dalam kembara mempelajari ilmu Falsafah.
Dari Afghanistan, beliau merantau ke Asia Tengah dan akhirnya tok
guru beliau berpesan, "Falsafah ini adalah lautan. Jika kamu berlayar
di permukaannya, kamu akan bertemu dengan ribut taufan yang menggila
dan kamu boleh karam. Tetapi jika kamu menyelam hingga ke dasarnya,
maka kamu akan bertemu khazanah berharga yang tersimpan di perut
lautan itu". Wah, saya amat terkesan dengan kenyataan itu dan ia
menjadikan saya termenung berhari-hari sehingga akhirnya saya luahkan
kebuntuan fikiran dengan menulis sajak "Riwayat Aku Sebagai Air".

Namun saya masih tidak dapat menyelesaikan krisis saya terhadap Imam
Ghazzali. Saya difahamkan oleh rakan-rakan, majalah, diskusi dll,
bahawa Ibnu Taimiyah dan Imam Ghazzali sama-sama pakar di dalam
Falsafah. Tetapi Ibnu Taimiyah mempelajari Falsafah untuk
menghancurkan Falsafah, manakala Imam Ghazzali mempelajari Falsafah
dan dia tenggelam di dalam Falsafah!

TIDAK MENELAN BULAT-BULAT

Hmm, saya tidaklah menelan bulat-bulat kenyataan ini tetapi saya
membiarkan masa berlalu tanpa membuat pemeriksaan lanjutan. Terlalu
banyak agenda kehidupan dan akhirnya 'terkilan' saya terhadap Imam
Ghazzali terbiar begitu sahaja. Saya terkilan kerana saya tahu dia
hebat, namun saya tidak tahu di mana kehebatannya. Saya tahu kitab
Ihya beliau adalah kitab tajdid di zamannya tetapi saya tidak tahu di
mana keagungan kitab tersebut. Puncanya masih berlegar pada dua isu
tadi; hadith dan Falsafah. Namun saya bersyukur kerana sistem
pengajian di Jordan menjadikan saya terdidik untuk amat kasih dengan
semua ulama', tidak taasub dengan mana-mana tokoh walau sehebat mana,
hingga boleh membutakan mata dari mencari kebenaran. Saya selesa
dengan Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim, saya juga tenang membaca hasil
Imam Maturidi malah al-Buti di dalam kitabnya Kubra al-Yaqiniyyat al-
Kauniyyah. Saya boleh bersikap adil terhadap Muhammad bin Abdul
Wahhab walaupun saya amat obsess dengan Daulah Othmaniyyah yang
dimusuhi oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Tetapi saya mahu mengasihi Imam Ghazzali sedangkan saya tidak tahu di
mana lubuk cintanya. Saya mahu berbaik sangka dengan al-Ghazzali
terhadap kelemahan-kelemahannya tetapi saya tidak tahu apa
alasannya...

Perasaan itu terpendam di dalam diri hinggalah akhirnya saya diminta
bangun dan membela Imam Ghazzali yang diserang oleh Astora Jabat!
Walaupun saya tidak begitu arif tentang asas perbalahan Imam Ghazzali
dengan al-Farabi dan Ibn Sina, namun untuk membiarkan Astora Jabat
menghukum Imam Ghazzali sebagai berdosa besar kerana menghukum kafir
kepada al-Farabi dan Ibn Sina pada tiga isu (alam qadim, Tuhan tidak
mengetahui hal yang juz'ie dan manusia bangkit di Mahsyar dengan roh
tanpa jasad), ia adalah sesuatu yang keterlaluan. Malah Astora Jabat
menuduh al-Ghazzali telah melakukan 'keganasan pemikiran'. Aduh,
najis apa yang mahu ditabur oleh Astora Jabat kali ini? Saya
kepanasan tetapi saya tidak kenal siapa al-Ghazzali dan saya tidak
tahu bagaimana saya hendak membela dan mempertahankannya.

KEMBARA BERMULA

Di sinilah kembara saya mencari al-Ghazzali bermula. Syukur
Alhamdulillah, saya berikan kredit kepada Fitrah Perkasa, tempat saya
bekerja. Kami banyak menjadikan bahan Imam Ghazzali sebagai asas
pembangunan modul. Kitab Ihya, Kimiyaa' as-Saadah, Ayyuhal Walad dan
sebagainya menjadi rujukan. Namun saya belum benar-benar dapat
melihat manhaj al-Ghazzali. Tetapi sekurang-kurangnya kehebatan Imam
Ghazzali mula terserlah sedikit demi sedikit.

Apabila Encik Saharom meminta saya menulis, saya berazam untuk
mengambil peluang ini sebagai dorongan saya mendalami Falsafah dan al-
Ghazzali. Kitab-kitab Falsafah yang saya beli 8 tahun yang lalu, saya
punggah dari rak buku dan saya berulang ke kedai buku sekitar Kuala
Lumpur untuk mencari bahan. Saya perlu mengetahui secara lengkap
tentang al-Ghazzali, Aristotle, Plato, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd
dan huraian-huraian yang huru-hara di dalam memahami asas neo-
Platonian, Aristotalian serta  cabang-cabang tajuk yang lain.
Walaupun mungkin tulisan saya untuk Majalah I pendek sahaja, namun
prinsip saya ialah seorang penulis mesti lebih banyak membaca
daripada menulis. Itu yang sering dipesan oleh Ustaz Pahrol. Jika
seorang penulis lebih banyak menulis daripada membaca, maka itulah
saat-saat bangkrap seorang penulis. Saya perlu memahami sesuatu tajuk
secara menyeluruh, kemudian barulah saya boleh membuat keputusan
tentang banyak manakah hasil pembacaan saya itu yang hendak
dikeluarkan sebagai artikel penulisan.

UJIAN MASA

Saya tersedar di dalam kembara ini bahawa upaya saya di dalam
pembacaan sudah tidak seperti dulu. Saya keluar rumah untuk ke
pejabat pada jam 7:15 pagi. Saya sampai ke rumah pada sebelah petang
pula ialah sekitar 7:15 petang. Saya mesti meluangkan masa
berinteraksi dengan isteri dan anak-anak sebelum mereka tidur,
khususnya anak sulung saya yang sedang membesar dan 'banyak tanya'.
Apabila jam mencecah 10:30 malam, saya pula sudah terlalu letih untuk
membaca. Itu jika saya tidak berkuliah. Banyak hari yang saya perlu
ke masjid-masjid untuk mengajar. Kerja saya di Fitrah Perkasa pula
menuntut saya untuk out station sehingga 15 hari sebulan malah pernah
mencecah 22 hari pada bulan Jun yang lalu. Iaitu bulan saya dihubungi
oleh Encik Saharom. Akhirnya masa yang ada pada saya hanya dua.
Pertamanya perjalanan pulang di dalam LRT iaitu antara Stesyen Taman
Melati dan KLCC (selepas KLCC, tren sudah terlalu padat dan tidak
sesuai untuk membaca buku). Manakala masa kedua ialah bangun seawal 4
pagi untuk membaca dan menulis. Itulah sahaja masa yang ada dan saya
menginsafi hal masa ini sehingga pernah saya coretkan dalam pesanan
kepada rakan-rakan yang masih di bangku pengajian universiti, supaya
memanfaatkan masa dengan membaca malah terasa lebih utama
membanyakkan pembacaan semasa menjadi pelajar, berbanding dengan
membanyakkan sembahyang sunat!

Dua bulan saya cuba membaca, memahami, mencari forum-forum online di
internet untuk berbincang tentang Falsafah dan Imam Ghazzali.
Terdetik hati untuk berhubung dengan rakan-rakan yang kini sudah
bergelar pensyarah dan doktor di universiti, namun diri rasa terlalu
kerdil untuk mengajak ahli akademik berkongsi buah fikiran.

PENEMUAN TERBESAR MENJELANG USIAKU 30

Setelah berhempas pulas membaca, akhirnya saya menemui jawapan yang
dicari selama ini. Hasil tulisan saya telah pun tersiar di dalam
majalah I keluaran September 05. Saya simpulkan sedikit di sini dan
artikel penuhnya akan saya muatkan di Saifulislam.Com pada
pertengahan bulan ini Insya Allah.

Pada saya, Imam Ghazzali sebenarnya sama sahaja dengan Ibn Taimiyah
di dalam soal Falsafah. Kedua-dua mereka mempelajari Falsafah kerana
mahu menghancurkan ilmu yang telah menipu umat Islam ini. Akan tetapi
Imam Ghazzali lebih berjaya kerana Ibn Taimiyah tidak pernah dianggap
sebagai ahli Falsafah oleh ahli Falsafah. Oleh yang demikian,
penulisan beliau yang hebat tidak dipedulikan oleh ahli Falsafah
kerana beliau bukan sebahagian mereka. Namun Imam Ghazzali
menggunakan pendekatan yang bijaksana. Beliau menulis sebuah buku
yang telah menyerlahkan kehebatan beliau di dalam bidang Falsafah
iaitu melalui kitab pertamanya di bidang ini, Maqasid al-Falasifah.
Janganlah sekali-kali disangka bahawa buku ini adalah sebuah buku
yang hanya sejilid. Maksud saya, buku ini adalah bahagian pertama
daripada penulisan al-Ghazzali. Beliau tidak mengkritik Falsafah di
dalam buku ini atas hikmah-hikmah yang besar. Kerana buku ini, ahli
Falsafah mengagumi Imam Ghazzali dan menganggapnya sebagai tokoh
penting dan hebat. Manakala bagi sesetengah orang, buku ini menjadi
alasan untuk mengkritik Imam Ghazzali kerana beliau dianggap sebaris
sahaja dengan ahli Falsafah lain lantaran buku tersebut yang menjadi
rujukan Falsafah.

Akan tetapi, Imam Ghazzali menyambung tulisannya di dalam Maqasid al-
Falasifah itu di dalam buku kedua beliau iaitu Tahafut al-Falasifah.
Di dalam kitab inilah Imam Ghazzali menghentam habis-habisan ilmu
Falsafah yang cuba mengatasi wahyu. Soal Fizik dan cabang Falsafah
yang lain, Imam Ghazzali menerima bahkan menyanjungnya. Cuma Falsafah
yang cuba menganalisa Tuhan dan Ketuhanan itulah yang ditentangnya. 3
kufur dan 17 bid'ah, itulah kesimpulan al-Ghazzali di dalam kitabnya
itu. Akibat buku ini, Imam Ghazzali benar-benar telah membinasakan
momentom kaki Falsafah di kalangan umat Islam tersebut. Malah tokoh-
tokoh Falsafah sedunia bersetuju bahawa kitab Tahafut itu telah
menghancur leburkan Falsafah di dalam tamadun Islam dan gagal
dibangkitkan semula walaupun oleh usaha Ibn Rushd melalui bukunya
Tahafut al-Tahafut, iaitu buku yang ditulis untuk mengkritik
pandangan al-Ghazzali. Maka helah al-Ghazzali lebih berjaya
berbanding dengan Ibn Taimiyah. Al-Ghazzali memulakan serangannya
dengan meletakkan dirinya di tengah-tengah kelompok ahli Falsafah.
Apabila mereka menerima dan mula menyanjung al-Ghazzali, maka barulah
beliau mengeluarkan taringnya. Hanya jauhari yang kenal manikam!

Wah, gembiranya saya dengan hal ini. Saya gembira kerana saya dapat
memahami al-Ghazzali. Saya gembira kerana saya yakin Imam Ghazzali
bukanlah seperti yang saya faham selama ini. Malah saya tidak lagi
perlu berbaik sangka sebab Imam Ghazzali memang baik, memang hebat
dan sememangnya Hujjatul Islam.

Malah hati saya terus tersentuh di antara sedih dan gembira, pilu dan
kagum terhadap Imam al-Ghazzali. Saya membaca kembara hidupnya dan
saya amat pilu melihat Imam Ghazzali yang hebat itu masih terus
mencari-cari suatu kesimpulan kepada ilmunya. Beliau telah menjadi
ulama seperti yang biasa di zaman itu. Beliau juga sudah menghalusi
soal pendidikan hati, beliau juga pernah terjun di medan Falsafah,
namun akhirnya Imam Ghazzali menghabiskan sisa usianya dengan
mendalami ilmu Hadith. Beliau berusaha gigih untuk mengatasi
kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan ini membawanya kepada menuntut
ilmu Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui Hafiz 'Amr ibn Abi al-Hasan
al-Rawasi. Jika Imam Ghazzali sendiri mengakui kelemahannya di dalam
ilmu Hadith dan telah cuba mengatasinya sehingga ke  akhir-akhir
hayat beliau, maka saya dengan sendirinya dapat menilai bagaimana
sepatutnya saya membaca kitab Ihya' secara adil.

Kata Ibn Jawzi di dalam Ithaf as-Saadah:

"Hari itu hari Isnin. Dia (al-Ghazzali) bangkit pada waktu Subuh,
berwudhu' dan menunaikan sembahyang subuh. Kemudian dia meminta
supaya dibawakan kepadanya kain kapan beliau. Sambil mengambilnya,
dia mencium kain kapan itu serta meletakkannya pada mata beliau lalu
berkata, "Aku tunduk kepada perintah Tuhanku". Kemudian beliau
berbaring sambil mengadapkan mukanya ke arah Qiblat dengan
meregangkan kakinya. Apabila orang ramai memeriksanya, al-Ghazzali
sudah meninggal dunia".

Terhambur air mata saya di suatu subuh yang hening. Semoga al-
Ghazzali ditempatkan Allah di makam yang mulia dan terpuji, bersama-
sama ulama Islam yang lain, yang telah mewakafkan hidup mereka
membimbing umat dan meneruskan misi Nubuwwah Rasulullah SAW.

Berhari-hari saya tersenyum sendirian kerana Tuhan telah membantu
saya untuk mengenali al-Ghazzali. Ketika di usia 20, saya dapat
menyelesaikan pandangan saya terhadap khalifah Islam terakhir iaitu
Sultan Abdul Hamid II dan di usia 30, saya diizinkan Allah mengenali,
menghargai dan menghormati Imam al-Ghazzali.

Walaupun maklumat saya tidaklah seberapa dan artikel saya di dalam
Majalah I itu belumlah tentu dapat menutup mulut Astora Jabat atau
benar-benar cukup untuk mempertahankan al-Ghazzali dari serangan
Islam Liberal di Malaysia ini, namun sedikit sebanyak saya sudah
cukup gembira mengenali al-Ghazzali. Saya benar-benar sudah dapat
merasakan kehebatan al-Ghazzali dan saya mahu segera pulang ke Ipoh
untuk ke pusara arwah Abah. Akan saya nyatakan di pusaranya, "Abah,
Imam Ghazzali yang menulis kitab Ihya dulu, memang hebat!"

Akhirnya kutemui al-Ghazzali....

 
@ABU SAIF

 

Cheras, Kuala Lumpur

31 Ogos 2005

 



--
NADIE SAKURA E-SHOP
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami, jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
adiemad
012-2900354
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, jubah punjabi, dan
   blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.

Tiada ulasan: