Oleh Abu Iqbal Mohd Yaakub Mohd Yunus
Setiap tahun umat Islam di Malaysia menyambut kehadiran 12
Rabiulawal iaitu tarikh yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dalam suasana meriah. Pelbagai
upacara akan diaturkan sempena kedatangan hari tersebut yang juga
dikenali sebagai Maulidur Rasul seperti perarakan besar-besaran,
upacara Marhaban dengan membaca kitab Barzanji, mengadakan jamuan-
jamuan makan dan ceramah-ceramah agama. Semuanya ini dilaksanakan
demi untuk menggambarkan perasaan kasih dan sayang terhadap
junjungan kita Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam.
Saban tahun 12 Rabiulawal muncul, maka saban tahun juga polemik
tentang sunnah atau bidaahnya menyambut Maulidur Rasul akan muncul.
Pihak yang menentang sambutan Maulidur Rasul menyatakan sambutan
tersebut adalah bidaah kerana ianya tidak pernah dilaksanakan pada
zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan sahabatnya
radhiallahu 'anhum serta zaman para salafussoleh. Malah imam-imam
mazhab yang empat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-
Syafi'i dan Imam Ahmad rahimahumullah juga tidak pernah menganjurkan
sambutan Maulidur Rasul ini. Timbul persoalan adakah mereka semua
ini tidak mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam
sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan
Maulidur Rasul? Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka
beranggapan ianya adalah bidaah yang baik (hasanah) dan hanya
bertujuan untuk mengagungkan baginda shallallahu 'alaihi wasallam
dan mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda. Apatah lagi tidak
terdapat larangan yang khusus dari Allah Subhanahu wa Ta'ala serta
Rasul-Nya terhadap sambutan Maulidur Rasul ini.
Apa pun jua kita tidak ingin memanjangkan polemik ini yang akan
sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin kita
bahaskan di sini adalah tentang tatacara untuk membuktikan kasih
sayang kita serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam. Sebagaimana yang kita maklum bahawa
golongan yang pertama kali mengadakan upacara sambutan Maulidur
Rasul ini adalah Bani Ubaid al-Qadah dari kelompok Fathimiyah yang
memerintah Mesir bermula dari 362 sehingga 567 Hijrah. Mereka ini
berfahaman syi'ah rafidhah dan juga terpengaruh dengan aliran
Qaramithah al-Bathiniyah iaitu kelompok yang terkeluar dari Ahlus
Sunnah Wal Jamaah. Kerajaan Fathimiyah ini menganjurkan upacara
peringatan Maulidur Rasul ini bukan di atas dasar cinta kepada Nabi
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam tetapi tujuan utama mereka
adalah berunsur politik yakni untuk mencari pengaruh serta sokongan
dari rakyat untuk menutupi kesesatan mereka. Jika mereka inilah
pelopor sambutan Maulidur Rasul, jadi bagaimanakah caranya para
salafussoleh mempamerkan kecintaaan mereka kepada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam? Tentu sekali kita telah fahami bahawa
golongan yang paling mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi
wasallam adalah para sahabatnya dan generasi yang terbaik menurut
menurut baginda shallallahu 'alaihi wasallam adalah para sahabat,
tabi'in dan tabi'ut tabi'in.
Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang
sesudahnya (tabi'in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya
(tabi'ut tabi'in). (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Telah terbukti mereka ini tidak pernah menyambut Maulidur Rasul.
Jadi bagaimanakah pandangan mereka tentang hakikat sebenar mencintai
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu melalui risalah
yang ringkas ini penulis akan cuba mengungkap hakikat tersebut.
KEWAJIPAN MENCINTAI NABI SHALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM.
Mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam itu adalah satu
prinsip agama yang sangat penting serta mendasar. Seseorang itu
tidak dianggap beriman sehingga di benar-benar mencintai Nabi
Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam lebih dari dirinya sendiri
serta kaum kerabatnya dan harta-bendanya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak
kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami)
kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan,
dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah
tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi
perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya
dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah
tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
(al-Tawbah (9) : 24)
Rasulllah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Aku lebih utama bagi setiap mukmin daripada dirinya sendiri. (Hadis
riwayat Imam Muslim)
Sabdanya lagi:
Tidaklah beriman salah seorang dari kalian sehingga aku lebih
dicintainya daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Masih terdapat banyak lagi dalil sedemikian rupa yang tidak lain
hanya menunjukkan kewajipan mencintai baginda shallallahu 'alaihi
wasallam yang merupakan di antara ciri-ciri golongan yang beriman.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berhak meraih cinta tersebut
kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah
Subhanahu wa Ta'ala, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang
lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk kepada umatnya,
menyelamatkan umatnya dari neraka jahanam dan menjadi rahmat kepada
seluruh alam. Mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam
adalah merupakan antara kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu
utusan (rasul) Allah yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.
HAKIKAT MENCINTAI RASULULLAH
Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam memiliki ciri-ciri yang tertentu. Di sini penulis akan
menampilkan beberapa tanda-tanda yang dapat menggambarkan perasaan
cinta kita kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan
hakikat yang sebenar:
1) Mentawhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Hikmah utama diutusnya para Rasul termasuk Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam adalah untuk menyerukan fahaman tauhid
dan menentang syirik. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat
seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah
kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". (al-Nahl (16) : 36)
Al-Hafidz Ibnu Kathir berkata:
Semua mereka (para rasul) mengajak beribadah kepada Allah dan
melarang beribadah kepada selain-Nya, dan Allah Ta'ala senantiasa
mengutus para rasul dengan tugas tersebut semenjak terjadinya
kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh `alahissalam. Dialah
rasul pertama diutus oleh Allah kepada penghuni bumi hingga penutup
para rasul Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam yang menyampaikan
dakwahnya kepada bangsa jin dan manusia di belahan timur dan barat.
Keadaan mereka semua ini adalah sebagaimana firman Allah Ta'ala :
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul
pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah
kamu kepadaKu". (al-Anbiyak (21) : 25)
Maksud mengtauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah beribadah
hanyalah kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan
sesuatu apa jua pun. Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid iaitu
La Ilahaa IllaAllah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan
Allah) iaitu dengan memurnikan ibadah hanya kepada-Nya dan berlepas
diri dari segala sesuatu selainnya. Inilah misi utama Nabi Muhhamad
shallallahu 'alaihi wasallam terhadap umatnya. Oleh itu untuk
membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam maka hendaklah kita menghindari amalan-
amalan syirik seperti menyembah berhala, berdoa hanya kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala tanpa perataraan (wasilah) yang tidak di izinkan-
Nya seperti bertawassul di kuburan para wali, mentaati hukum-hukum
Allah serta berlepas diri daripada hukum buatan manusia yang tidak
selari dengan syarak, tidak memakai tangkal, tidak bertilik nasib,
tidak berjumpa bomoh, mengingkari Nama-nama dan Sifat-sifat Allah
dan lain-lain lagi. Mengtauhidkan Allah Subhanahu wa Ta'ala
merupakan bukti yang paling kukuh menujukkan kita mencintai Nabi
Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam.
2) Menghargai al-Qur'an serta mengamalkan isu kandungannya.
Di antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan berpegang teguh kepada
segala firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang terkandung di dalam al-
Qur'an. Al-Qur'an yang merupakan wahyu Allah Subhanahu wa Ta'ala
kepada baginda adalah merupakan petunjuk yang jelas bagi sekalian
umat manusia dan juga merupakan pembeza di antara perkara yang benar
dan perkara yang menyalahi syarak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Bulan Ramadan, bulan yang padanya diturunkan al-Qur'an sebagai
petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk
itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). (al-Baqarah (2) :
185)
Antara misi utama Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah
untuk mengajar umat manusia tentang al-Qur'an serta mempraktikkannya
supaya boleh dijadikan contoh teladan bagi umat pada masa hadapan.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
� dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku (iaitu Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam) supaya aku memberi peringatan kepadamu
dan kepada orang yang sampai al-Qur'an kepadanya. (al-An'aam (6) :
19)
Dan al-Qur'an itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar
kamu (iaitu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam)
membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya
bahagian demi bahagian. ( al-Israa' (17) : 106)
Oleh itu sekiranya al-Qur'an ini tidak dihargai dengan
mempelajarinya dan mempraktikkannya ia sebenarnya menggambarkan
sikap kita yang memperlekehkan tugas utama Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam diutuskan kepada umatnya yakni
menyampaikan al-Qur'an. Mereka yang memperlekehkan baginda tidak
selayaknya dikategorikan di dalam golongan yang mencintainya.
3) Mentaati Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita
kepada Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan
mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya,
menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya
semua perbuatan dan ucapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam wajib
dikuti dan diteladani. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh
ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang). (al-Ahzaab (33) : 21)
Menurut al-Hafidz Ibnu Kathir:
Ayat ini merupakan dasar utama untuk mencontohi Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam baik dalam ucapan, perbuatan mahupun
hal ehwal baginda.
Mentaati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga adalah bukti
yang menujukkan kita mencintai Allah 'Azza wa Jalla. Firman-Nya
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-
dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. (Ali `Imraan (3) : 31)
Memperjuangkan sunnah juga bermaksud menghindari amalan bidaah.
Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi rahimahullah
adalah:
Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan
mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala. (Dinukil daripada kitab Meluruskan Tafsir
Bidaah karya Syaikh Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf yang merupakan
ringkasan kepada kitab al-I'tishom karya Imam Abu Ishaq Al-Syathibi
(edisi terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya,
2003), ms. 2)
Dari definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah
adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu
apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi maka
ianya tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah secara
syariah. Ini adalah kerana terdapat dalil-dalil yang menggalakkan
umat Islam untuk terlibat di dalam usaha untuk mencipta rekaan-
rekaan yang terkini demi kemajuan umat Islam. Di dalam hal ehwal
dunia, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi yang
termoden asalkan sahaja tidak mendatangkan keburukan kepada orang
ramai serta tidak bertentangan dengan syariah. Sabda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam:
Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu. (Hadis Riawayat Imam Muslim)
Jika sekiranya sesuatu itu urusan dunia kamu, maka uruskanlah
dengannya, dan kalau sekiranya urusan agama kamu maka kembalikanlah
kepada aku. (Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)
Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual-
ritual agama baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Seluruh bidaah yang
bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah
sia-sia kerana ianya tidak diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur'an) dan
sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta
seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah) dan setiap
yang diada-adakan (bidaah) adalah sesat. (Hadis Riawayat Imam
Muslim)
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam
perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka
tertolaklah ia. (Hadis Riawayat Imam al-Bukhari)
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami
(iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia.
(Hadis Riwayat Imam Muslim)
Oleh itu memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang
menunjukkan kecintaan kita kepada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam dan mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan
kita kepada dakwah baginda. Imam Malik rahimahullah berkata:
Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik
(hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu 'alaihi
wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:
Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. (al-Maaidah (5) : 3)
Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia
tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. (Penulis nukil
dari kitab Meluruskan Tafsir Bid'ah karya Alwi bin Abdul Qadir al-
Seqaf, ms. 14)
Oleh itu berhati-hatilah dengan amalan-amalan bidaah walaupun ianya
nampak seperti amalan yang baik baik dan memiliki tujuan yang mulia.
Ingat pesanan `Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma:
"Setiap bidaah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan
bidaah tersebut) hasanah (baik)." (Diriwayatkan oleh Imam al-
Lalaka'i)
4) Menyebarkan Sunnah Nabi
Mencintai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bukan sekadar hanya taat
kepada sunnah baginda malah di antara tanda kesempurnaan perasaan
cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunnah-sunnah
tersebut kepada seluruh umat manusia. Sabda baginda
shallallahu 'alaihi wasallam:
Hendaklah yang yang hadir menyampaikan (ajaran baginda) kepada yang
tidak hadir. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Sampaikan dariku walaupun satu ayat. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Keinginan untuk menyebarkan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi
wasallam, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah satu usaha
untuk menyambung tugasan baginda setelah baginda wafat. Sekiranya
kerja-kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan pasti sunnahnya
akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah.
5) Sentiasa memujinya dan mengingatinya
Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam
maka seharusnya baginda senantiasa berada di hati kita. Kita
sepatutnya senantiasa mengingati pengorbanan yang telah baginda
lakukan demi untuk menyelamat umatnya dari lembah kesesatan. Oleh
itu hendaklah kita memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah
hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup
baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita. Hendaklah kita
hanya menyibukkan diri dengan sejarah baginda yang sahih dan
menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam
masyarakat. Penulis juga menganjurkan para ulamak untuk mengkaji
semula kandungan kitab Barzanji ataupun Burdah al-Bushairi yang
sering dibacakan dalam majlis-majlis maulid kerana di dalamnya
terdapat banyak kisah-kisah palsu serta lemah yang tidak mempunyai
sandaran malah boleh membawa kepada kesyirikan dan khurafat.
Disarankan juga bagi umat Islam di Malaysia untuk mendapatkan kitab-
kitab Sirah Nabi yang muktabar untuk dijadikan rujukan. Hendaklah
juga sirah-sirah Nabi ini diajarkan sepanjang tahun dan bukan hanya
menunggu tarikh 12 Rabiulawal.
Kita juga sepatutnya sering melafazkan kata-kata pujian kepada Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam dengan pujian yang selayak baginya.
Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala
penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad shallallahu 'alaihi
wasallam); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang
sepenuhnya. (al-Ahzaab (33) : 56)
Selawat-selawat yang kita ucapkan mestilah bersumber dari hadis-
hadis yang sahih dan bukan selawat-selawat ciptaan manusia yang
adakalanya terkandung kata-kata pujian yang berlebihan. Antara
kalimah selawat yang baginda telah ajarkan adalah seperti berikut:
Sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah sesungguhnya kami
telah mengetahui bagaimana (caranya) kami mengucapkan salam kepada
mu, maka bagaimanakah cara kami berselawat kepada mu?"
Baginda menjawab : "Ucapkanlah oleh kalian : Allahumma shalli `ala
Muhammad wa `ala ali Muhammad kama shallaita `ala Ibrahim wa `ala
ali Ibrahim innaka hamidun majid. Allahumma barik `ala Muhammad
wa `ala ali Muhammad, kama barakta `ala Ibrahim wa `ala ali Ibrahim,
innaka hamidun majid. (Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan
keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada
Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji
(lagi) Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga
Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga
Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia."
Dewasa ini ramai orang yang tidak ambil peduli lagi untuk benar-
benar mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam
tatacara berselawat. Malah mereka bukan sekadar menambah lafaz
sayyidina atau lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang
sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara
total tanpa ada contohnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam,
para sahabat, generasi tabi'in, tabi'ut tabi'in mahupun imam-imam
mazhab yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan
yang lebih bermanfaat dari lafaz aslinya yang datang dari baginda
shalallahu 'alaihi wasallam. Tindakan sebegini sepatutnya dihindari
secara total oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi
shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-
hadis baginda yang sahih. Ini adalah kerana Nabi Muhammad
shalallahu 'alaihi wasallam adalah makhluk yang paling sempurna
ibadahnya dan yang paling mulia di sisi Allah `Azza Wa Jalla. Maka
sewajarnya untuk kita tidak mencontohi ikutan yang lain selain dari
baginda shalallahu 'alaihi wasallam.
Menurut Syaikh Abu Ubaidah:
Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi
shalallahu 'alaihi wasallam merupakan sebuah ibadah dan sesuatu
bersifat tauqify (terhenti sebagaimana ajaran Nabi
shalallahu 'alaihi wasallam) maka kita semua wajib membaca selawat
kepada beliau dengan lafaz yang telah ditetapkan...Kita tidak boleh
menambah mahupun menggubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk
formula selawat yang baru. Kerana tindakan itu merupakan salah satu
bentuk pembangkangan terhadap pemilik syari'at (iaitu Allah Ta'ala)
yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh
hati. (Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat,
(edisi terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta 2001)
ms. 162)
Berselawat kepada baginda disyari'atkan dalam pelbagai ibadah
seperti tasyahhud dalam solat, khutbah, solat jenazah, sesudah azan,
saat berdoa, saat namanya disebut dan pelbagai kesempatan yang lain.
6) Mencintai mereka yang dicintai Nabi
Di antara tanda kecintaan seseorang kepada Nabi shalallahu 'alaihi
wasallam adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti
Ahlulbaitnya serta para sahabatnya serta membenci mereka yang
memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda. Rasulullah
shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Jangan kalian mencela sahabat-sahabatku (setelah akau meninggal)
dengan perkataan yang jelek seperti sasaran yang ditembak dengan
anak panah. Siapa yang mencintai mereka maka aku mencintainya dan
siapa yang membenci mereka maka aku aku akan membencinya. Siapa yang
mencelakai mereka bererti dia telah mencelakaiku dan siapa yang
telah mencelakaiku maka dia telah mencelakai Allah dan sesiapa yang
mencelakai Allah maka Dia akan mengsegerakan mengazabnya. (Hadis
riwayat Imam al-Tirmidzi)
Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang hampir
sahaja utusan Tuhanku (malaikat maut) dating menjemputku lalu aku
memenuhinya. Aku akan meninggalkan kepadamu Tsaqalain (dua perkara
yang berat): Yang pertama, Kitabullah yang berisi petunjuk dan
cahaya. Berpegang teguhlah kepada Kitabullah. Baginda menganjurkan
atas Kitabullah dan motivasi untuk itu, kemudian baginda
bersabda: "Dan Ahlulbaitku, aku mengingatkan kalian kepada Allah
tentang Ahlulbaitku, aku mengingatkan kalian kepada Allah tentang
Ahlulbaitku. (Hadis riwayat Imam Muslim)
Secara logiknya sesiapa yang mencintai seseorang maka dia juga akan
mencintai apa yang orang tersebut cintai. Hal ini dikuatkan dengan
dalil dari sebuah hadis:
Bahawa sesiapa yang mencintai seseuatu maka dia mencintai segala
yang disukainya, yang serupa dengannya, dan segala yang bertalian
dengannya. (Diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani di
dalam Fathul Baari)
7) Membela Nabi dari serangan golongan munafik
Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hukum Allah serta
sunnah-sunnah baginda shallallahu 'alaihi wasallam sedang hebat
diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam
Liberal, Golongan Anti Hadis, para orientalist dan lain-lain
kelompok yang sesat. Oleh itu di antara tanda kecintaan kita kepada
Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah dengan membantah
hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan
penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang
dibangkitkan oleh musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sabda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam:
Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik maka dia
akan mendapatkan balasan syurga. (Hadis riwayat Imam Muslim)
Allah Subhanahu wa Ta'ala akan sentiasa menghargai mereka yang
membela agama-Nya dengan memberi pertolongan kepada mereka. Firman-
Nya:
Sesungguhnya Allah pasti menolong mereka yang menolong (agama)Nya.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (al-Hajj
(22) ; 40)
Demikianlah beberapa tanda-tanda yang menggambarkan hakikat sebenar
mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Jelas di sini
apa yang dapat kita lihat bahawa hakikat mencintai Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam bukanlah satu perkara yang datang hanya
setahun sekali iaitu pada tarikh 12 Rabiulawal sahaja ataupun dengan
hanya menganjurkan upacara-upacara tertentu sempena Maulidur Rasul.
Mencintai Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam adalah satu
proses yang berterusan dan senantiasa perlu diperhatikan setiap
waktu dan ketika. Jelas juga bagi kita bahawa di antara ciri-ciri
utama bagi golongan yang benar-benar mencintai baginda adalah mereka
yang senantiasa berusaha untuk menegakkan sunnah serta menentang
bidaah. Semoga sambutan Maulidur Rasul di Malaysia pada tahun ini
benar-benar akan menggambarkan hakikat sebenar kecintaan umat Islam
di Negara ini terhadap Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam
dengan menyisihkan segala amalan-amalan bidaah yang dikhususkan
sempena sambutan hari yang penuh bermakna bagi seluruh umat Islam
iaitu hari kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wasallam. Cinta kepada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam dapat dibuktikan dengan ittiba'
(mengikuti sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) dan bukan
ibtida' (dengan mengamalkan amalan bidaah).
--
NADIE SAKURA E-SHOP
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami,
jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
adiemad
013-2357442
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, jubah punjabi, dan
blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan