Rabu, Julai 12, 2006

Wanita Solehah

moga ianya sebuah perkongsian yang bermanfaat..Bi Iznillah..InsyaAllah

IMPIANKU

Menyelak buku yang dihadiahkan oleh seseorang, "Wanita Solehah –
Kedudukan dan Personaliti Serta Ciri-cirinya" hati tersenyum namun
gusar di hati sukar untuk ditafsir. Mampukah diri ini bergelar wanita
solehah? Mampukah diri ini menjadi wasilah kepada sebuah pembentukan
usrah muslim untuk mentarbiyyahkan anak-anak dan keluarga dengan
berpandukan AlQuran dan assunnah? Benar, tanggungjawab itu terlalu
berat, maharnya terlalu mahal untuk meraih syurga di sana.

Dengan arus kehidupan globalisasi, mehnah seringkali menggoyah
kekuatan diri. Andai tiada sandaran yang ampuh, sudah pasti diri ini
akan rebah akur dengan kehendak duniawi.Hati seringkali menangis
melihat muslimah sekarang. Sekalipun kemajuan dan kemewahan terhampar
namun ia membuatkan kita semakin jauh daripada keberkatan dan rahmat
kasih sayangNya. Kita dilalaikan dengan ehwal duniawi, sedangkan
janjiNya adalah pasti! Dunia sudah tua benar! Ia hanya menanti masa
tunggu dipulihkan dengan tiupan sangkakala.

Tika dan saat itu, adakah kita dijanjikan untuk taubat yang akan
diterima? JanjiNya itu pasti! Mati juga pasti! Sesungguhnya kita tidak
pernah dijanjikan umur yang beratus tahun. Jadi, di manakah titik
persetujuan bahawa kita perlu menunggu usia emas untuk bertaubat dan
beribadah menutup lompang kejahilan di usia muda? Tiada perjanjian
itu!

Ana, dan saudari semua takkan tahu bila ajal kita akan datang. Tahukah
kita, malaikat maut sentiasa menziarahi kita. Kunjungan hormat,
walaupun tiada terzahir oleh mata zahir namun hati mampu merasainya.
Jika hari ini adalah hari terakhir kita di dunia ini, sudah
bersediakah kita untuk mengadapNya? Berapa banyak amal yang telah
tersedia sebagai bekalan selamat di sana? Sudahkah kita tunaikan hak
diri kita sepanjang usia kita? Aurat, akhlak, amalan ibadah…
bagaimanakah timbangan semuanya itu? Cukupkah untuk kita berlalu
pantas pada titian sirat? Ataupun kita perlu merangkak, lantaran
bekalan kita terlalu naif.

Saudariku tersayang, atas dasar kasih sayang ini, ana memohon
muhasabahlah diri. Tiada manusia yang akan sempurna, namun bukan satu
perkara yang salah untuk kita sentiasa berubah ke arah kesempurnaan.
Renung-renungkanlah. Adakah aurat kita terjaga? Pakaian kita adakah
seperti yang islam anjurkan? Akhlak kita adakah mengikut lunas
syariat? Siapakah turutan keutamaan dalam amalan kehidupan kita?
Ketahuilah, Islam adalah agama yang syumul dan ia takkan menyusahkan
pengikutnya! Ayuh, lapangkan hatimu. Lihatkan keindahan Islam yang
tersedia buatmu muslimah. Setiap perkara yang islam bahaskan adalah
demi kebaikanmu.

Jadilah muslimah yang menjadikan Deen sebagai pakaiannya, jadikan malu
itu sebagai kehormatanmu. Janganlah cemarkannya. Ketahuilah jua,
dirimu dan diriku adalah wanita istimewa, nilaian wanita muslimah
terlalu mahal. Sanggupkah kita merendahkan mahar yang semahalnya itu
dengan akhlak yang buruk, dengan pakaian kita yang tidak menutup
aurat, dengan tindakan kita yang kurang sopan.

Islam ditegakkan atas darah syuhada, jangan cemarkan darah itu dengan
ketaksuban kita kepada kemajuan yang tiada keseimbangan rohaniyyah.
Seandainya di suatu malam, air mata kita menitis kerana kita insaf,
bergembiralah wahai temanku. Itulah khabaran gembira, Dia sudi
memberikan hidayahNya yang tidak pernah siapa menjangka.

Berubahlah ke arah kebaikan, sesungguhnya pintu taubat sentiasa
terbuka buatmu. Seandainya ada dosa-dosa lalu, Dia menjanjikan
keampunan pada mereka yang sentiasa bertaubat. Biarkan kemungkaran
lalu menjadi mimpi buruk buat kita, hiduplah dalam alam nyata, bahawa
dirimu muslimah terlalu indah untuk dipertontonkan di khalayak.

Diri ini akan menjadi insan paling gembira jika titipan mesra ini
dibaca oleh muslimah, lalu ia muhasabahkan dirinya. Berubahlah demi
kebaikan, kerana dirimu dan diriku jua berhak meraih syurga firdaus
yang dijanjikanNya!

Ameen..Bi Iznillah Ya Rabbana..

Ukhti Fi Al-Afifah,
wardatul-syauki