BEIRUT: Bunyi dentuman pelancar roket bergema di selatan Lubnan
tetapi hanya kelihatan pokok zaitun di kaki gunung yang bergoyang
ditiup angin. Tidak kelihatan sebarang roket melintas dan tiada
kumpulan bersenjata berjalan di jalan raya.
Israel dilaporkan berjuang menentang musuh yang hampir tidak
kelihatan, pejuang Hizbullah amat terlatih yang mampu melancarkan
roket dari rumah, kaki gunung dan gua, sebelum segera menghilangkan
diri.
Ia perjuangan menentang pejuang Syiah yang jauh menandingi kekuatan
serangan udara dan teknologi Israel.
Berbekalkan kepakaran setiap inci bumi Lubnan, sokongan kuat
daripada penduduk Syiah tempatan, mereka mampu melancarkan serang
hendap berbisa apabila berdepan dengan tentera Israel.
Pertempuran di sempadan pada 12 Julai lalu, menyaksikan dua tentera
Israel ditawan dan lapan lagi dibunuh pejuang Hizbullah, pertubuhan
digelar pengganas oleh Washington dan Tel Aviv, mencetuskan serangan
balas yang kejam oleh Israel.
Jet Israel menggempur kawasan pergunungan dan jalan berhampiran,
memusnahkan jambatan dan perkampungan, sejurus roket Hizbullah
dilancarkan.
Bagaimanapun, berdasarkan hakikat Israel membunuh lebih 54 orang
awam di Qana Sabtu lalu, rejim Zionis ini terpaksa mengaku bahawa
sasaran mereka sukar dicari menerusi udara dan memaksa Israel
melancarkan serangan darat meskipun orang awam yang maut.
"Hizbullah menguasai sepenuhnya peraturan perang gerila. Mereka
tidak boleh mencabar Israel dalam perang terbuka serta kekuatan
serangan udaranya. Jadi mereka tunggu sehingga tentera Israel masuk
jauh ke dalam kawasan Lubnan sebelum melancarkan serang hendap,"
kata bekas jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di selatan
Lubnan, Timur Goksel.
"Ini sebabnya mengapa Israel takut pergi terlalu jauh ke dalam
Lubnan. Ia ada segala kekuatan tetapi menyedari di situ wujud
terlalu banyak perangkap," katanya.
"Apabila Hizbullah berundur dari kampung Maroun al-Ras dalam minggu
kedua selepas pertempuran, mereka memasang banyak jerangkap samar
menyebabkan ramai tentera Israel terbunuh atau cedera," kata sumber
Hizbullah.
Serang hendap Hizbullah minggu lalu mengorbankan lapan tentera
Israel dan 22 lagi cedera dekat Bint Jbeil, kawasan yang mampu
dikepung Israel tanpa dapat menawannya.
Sehinggakan beribu-ribu askar Israel lengkap dengan kereta kebal dan
jet tempur dengan Hizbullah di beberapa kawasan di selatan Lubnan.
Meskipun melancarkan serangan hebat, Israel setakat ini cuba
mengelak penaklukan besar-besaran menyedari pengalaman lampau dengan
Hizbullah amat memeritkan.
Jane's World Insurgency & Terrorism menyatakan Hizbullah dianggap
sebagai kumpulan bersenjata bukan kerajaan paling berkemampuan di
rantau itu, dengan dikatakan mendapat bekalan roket daripada Iran.
"Pejuang Hizbullah dianggap kumpulan terbaik, paling bersemangat dan
amat terlatih berbanding kumpulan atau tentera lain di rantau ini,"
menurut laporan terbaru.
Hizbullah dianggarkan mempunyai tidak lebih 700 pejuang sepenuh masa
tetapi mampu mengerahkan 7000 lelaki dengan pantas dan mudah. Beliau
berkata, pejuang Hizbullah bergerak dalam unit bebas dianggotai
sehingga 20 orang, menjadikannya sukar untuk dilenyapkan.
Israel mendakwa memusnahkan hampir semua kemudahan dan kekuatan
Hizbullah tetapi tidak menghalang Hizbullah melancarkan hampir 300
roket ke arah Israel semalam, menyebabkan ramai penduduk wilayah
Yahudi itu cedera. – Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan