Susu ibu ada khasiat tinggi, bebas bakteria, jadikan bayi lebih sihat
BAGI ibu yang baru melahirkan anak, waktu penyusuan adalah antara saat paling dinantikan. Kehangatan tubuh bayi ketika didakap, menimbulkan sesuatu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Bagaimanapun, bukan semua ibu berjaya menyusukan bayi mereka. Antara alasan yang diberikan termasuk ketiadaan pengeluaran susu, tidak pandai menyusukan bayi masing-masing atau tahap kesihatan tidak membenarkan.
Kajian menunjukkan bayi yang diberikan penyusuan badan mampu mengawal selera berbanding pemberian susu formula kerana bayi akan menangis apabila lapar, sebaliknya bayi yang diberikan susu formula tidak dapat menentukan bila rasa lapar menjadikan ia antara penyebab bayi lebih mudah mendapat obesiti pada masa akan datang.
Bayi perlu disusukan mengikut permintaan yang mana secara lazimnya setiap satu setengah jam hingga tiga jam, namun si manja akan menangis bila lapar dan anda dapat mengenali tangisan itu apabila lama kelamaan ia akan semakin panjang dan kuat. Persoalannya, sekerap mana penyusuan perlu dilakukan?
Pakar Pemakanan, Prof Dr Norimah A Karim di dalam kertas kerja bertajuk ‘Dari baru lahir ke usia setahun’ menyatakan bayi mungkin menyusu lebih kerap pada waktu tumbesaran meningkat dan kembali kepada corak biasa beberapa hari selepas itu.
Beliau berkata, apa yang penting ialah menyusukan bayi selama mana yang diinginkan, bagaimanapun selalunya apabila kenyang, anak anda akan ‘memberitahu’ dengan menghentak genggamannya atau membengkokkan badannya, atau ‘menolak’ apabila diberikan susu.
“Susu ibu adalah yang terbaik kepada bayi kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi selain bebas daripada bakteria dan sentiasa segar kerana boleh disusukan bila-bila masa. Khasiat dan kandungan antibodi menyebabkan bayi menyusu ini lebih sihat,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Walaupun menyusukan dikatakan mudah, ibu perlu faham bahawa posisi menyusu yang salah boleh menjadikan tekanan kepada ibu apabila badan menjadi lenguh dan bayi pula mengamuk kerana tidak puas menyusu atau berada dalam keadaan yang tidak selesa.
Keadaan bilik yang sunyi adalah lokasi yang paling baik menjalani proses penyusuan kerana bayi akan memberikan lebih tumpuan selain ibu mempunyai lebih masa berkomunikasi dengan bayi menerusi pandangan mata, bercakap dengan bayi atau membelai tubuh mereka.
Penggunaan nada suara yang berbeza atau menyanyikan lagu kepada mereka adalah lambang sayang anda kepada si kecil. Mungkin mereka belum memahami, tetapi itulah sebenarnya pembentukan hubungan mesra antara ibu dan anak, membuatkan bayi berasa dihargai, selamat seterusnya meningkatkan harga diri dan keyakinannya.
Walaupun susu ibu terhasil secara semula jadi, ibu perlu pastikan pada waktu ini pemakanan mereka diberikan perhatian sewajarnya supaya kualiti susu berada pada tahap terbaik dengan mengambil makanan berkhasiat selain menghindari teh dan kopi kerana ia dikatakan menyebabkan bayi menjadi terlalu aktif.
Ambil hidangan seimbang dengan makan pelbagai jenis makanan yang kaya dengan nutrien seperti kalsium, zat besi, iodin, zink dan pelbagai vitamin. Jangan lupa, lebihkan minuman menjamin bekalan mencukupi untuk tubuh ibu sendiri serta penghasilan susu.
Tidak dinafikan ibu yang menyusukan perlukan sokongan suami dan seluruh ahli keluarga. Ada ibu yang merungut proses menyusukan mengambil masa yang lama dan membosankan menyebabkan mereka memilih susu formula. Bagi menghilangkan rasa bosan itu ibu boleh memilih pelbagai posisi yang selesa untuk menyusukan bayi.
Susu adalah hak bayi dan ibu tidak seharusnya memikirkan keselesaan diri sendiri. Berunding dengan doktor sekiranya anda berhadapan masalah tiada susu kerana ‘kekeringan’ susu ada kaitan dengan psikologi ibu yang merasakan ia suatu bebanan kerana ia halangan fikiran dalam proses penghasilan susu.
Posisi penyusuan yang baik
Sentuh bibir bayi dengan hujung puting sehingga dia membuka mulutnya. Biarkan dia membuka luas mulutnya untuk memenuhi sebahagian besar areola (bahagian berwarna coklat). Gerakan rahang dan bunyi tegukan memastikan yang bayi menyusu dalam posisi yang betul. Selepas menyusu, masukkan hujung jari kelingking anda di hujung mulut bayi untuk menghentikan hisapan.
Refleks ‘let-down’ atau pancutan susu
Refleks ‘let-down’ adalah rasa berdenyut yang menandakan aliran hangat susu sebaik saja bayi berada pada posisi penyusuan yang betul. Jika anda tidak mengalami rasa ini, ia mungkin disebabkan oleh gangguan, tiada ruang untuk bersendirian, rasa malu atau cemas mengenai penyusuan susu ibu, letih atau sakit.
Beralih payudara
Jika boleh, berikan bayi menyusu dari kedua-dua belah payudara pada setiap kali menyusu. Susukan bayi pada satu payudara sehingga dia berhenti menghisap. Angkat bayi, sendawakannya dan alihkannya ke payudara sebelah dan teruskan menyusu sehingga dia kenyang. Untuk penyusuan yang berikutnya, mulakan pada payudara yang terasa sarat dengan susu.
Sendawakan Bayi
Sendawakan bayi setiap kali selesai penyusuan. Dia mungkin termuntah susu, jadi pastikan anda menyediakan tuala. Jika dia tidak sendawa selepas 30 saat, dia mungkin tidak perlu disendawa. Letakkan bayi di bahu anda dan gosok atau tepuk perlahan belakang badannya.
Pilih posisi yang selesa
Dapatkan posisi yang membuat anda dan bayi rasa selesa. Tubuh bayi haruslah rapat kepada anda dan mukanya bertemu dengan payudara anda. Mulutnya haruslah berhampiran dengan puting dan kepala, leher dan belakangnya perlulah dalam keadaan lurus. Belakang badan anda juga perlulah tegak, jangan membongkok. Gunakan bantal untuk bersandar, jika perlu.
# Posisi dakapan
- Ini adalah posisi klasik dan menjadi kegemaran kebanyakan ibu. Ia membolehkan perut bayi dan perut anda bertemu supaya anda tidak perlu memusingkan kepalanya untuk menyusu. Kepala bayi berehat di dalam dakapan anda, sokong belakang badan dan punggung bayi serta lengan bayi perlu berada di bahagian sisinya
# Posisi ‘football hold’
- Posisi ini sangat sesuai jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘cesarean’ memiliki payudara yang besar, menyusukan bayi pramatang atau bayi yang kecil saiznya atau menyusukan anak kembar pada waktu yang serentak. Sokong kepala bayi dengan tangan, gunakan bantal untuk menyokong belakang badan anda.
# Posisi berbaring
- Cuba posisi ini apabila anda dan bayi rasa letih. Jika anda baru pulih daripada pembedahan ‘Cesarean’ ini mungkin satu-satunya posisi yang boleh anda cuba pada beberapa hari pertama. Sokong kepala anda dengan lengan dan sokong bayi anda dengan lengan atas
(sumber : Persatuan Pemakanan Malaysia dan Persatuan Pediatrik Malaysia)
1 ulasan:
Saya menyediakan supplement tambah susu bagi ibu2 yg menghadapi masalah dalam pengeluaran susu.memperbanykkn dan ibu lebih bertenaga - susu lebih pekat - anak suka..
Boleh consume selama sebulan bagi sesiapa yg nak try dahulu. Terdapat 4 jenis vitamin di dalam trial pack ini:
Shaklee product...
kalau full pack untuk consume 3 bulan RM241
tapi kepada yang kurang bajet -ada kekangan -just RM80 untuk sesi percubaan 30 hari
-alfalfa
-Vit C
-B complex
-Vitalea
Hubungi saya utk maklumat lanjut di 0176766156 atau email me irnawatimm@gmail.com
metrobestmom.blogspot.com
Terbukti-dipercayai...inshaalllah
Catat Ulasan