Sabtu, Julai 16, 2005

Ahmad Harraz

KUALA LUMPUR 22 Mac - Seorang rakyat Malaysia, Ahmad Harraz Mohd. Reza, 11,
murid sebuah sekolah rendah di Amerika Syarikat mengharumkan nama negara
apabila muncul juara pertandingan sains melalui penyelidikannya bertaraf
universiti, 7 Mac lalu.

Murid pintar dari Sekolah Rendah Spring Creek di Laramie, Wyoming itu
menghasilkan penyelidikan mengenai kunyit sebagai agen untuk mencegah kanser
ovari.

Penyelidikan peringkat junior kategori Perubatan dan Kesihatan itu bertajuk
Can Curcumin, an Ingredient Found in Turmeric, Inhibit the Growth of Human
Ovarian Cancer Cell Line SKOV-3 in Vitro?

Bapanya, Mohd. Reza Razali berkata, pada pertandingan itu, Ahmad Harraz
berjaya menewaskan 12 peserta yang lain dalam kategori tersebut.

Ahmad Harraz, 11, dipilih menyertai pertandingan itu di bawah Program
Kecerdikan dan Berbakat (G.A.T.E) sekolahnya.

Katanya, kemenangan Ahmad Harraz itu amat membanggakan kerana dia adalah
peserta termuda dalam kategori yang dikhususkan untuk peserta berusia antara
11 hingga 14 tahun.

``Penyelidikannya telah dibantu oleh dua orang kakitangan Universiti Wyoming
iaitu Pengarah Jabatan Biologi Molekul, Prof. Dr. Dale Isaak dan Penyelia
Makmal di jabatan yang sama, Carole Hertz.

``Isaak juga membenarkan Ahmad Harraz menggunakan makmal peribadi beliau
malah turut membantu mencari dan menyediakan sel kanser ovari bagi tujuan
penyelidikan tersebut,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini
hari ini.

Berikutan kemenangan itu, Harraz telah menerima pencalonan untuk menyertai
pertandingan peringkat nasional Cabaran Saintis Muda Discovery Channel di
Washington pada Oktober ini.

Kata Mohd. Reza, pencalonan itu hanya diberikan kepada 10 orang peserta
peringkat junior bagi seluruh negeri Wyoming.

``Ahmad Harraz yang mempunyai cita-cita untuk menjadi pakar bedah otak juga
aktif di dalam sukan renang dan ski.

``Baru-baru ini, dia memenangi tempat kedua di dalam acara renang 50 meter
gaya bebas dan kuak kupu-kupu untuk kumpulan B peringkat Wyoming dalam satu
kejohanan yang disertai 600 peserta dalam kumpulan umur lapan hingga 15
tahun,'' ujarnya.

Katanya lagi, dia tidak berniat untuk bermegah atas pencapaian Ahmad Harraz
tetapi beranggapan kejayaan itu sebagai bukti anak Melayu mampu untuk
cemerlang dalam pelbagai bidang tidak kira di mana dia berada.

1 ulasan:

Ida Azerin Razali berkata...

He is my nephew :)
Anyway, his father is fighting Leukemia now... Minta tolong doakan agar beliau sembuh, dengan izin Allah...
We're waiting for our flight tickets anytime soon...