Khamis, Mac 02, 2006

Rakyat Palestin diancam kebuluran

 BAITULMAQDIS 1 Mac - Selepas berhadapan dengan sekatan kewangan, rakyat Palestin di wilayah Gaza bakal diancam kebuluran berikutan bekalan asas keperluan harian berkurangan ekoran tindakan Yahudi menutup pintu sempadan utama ke Gaza.
  
  Ketua Pejabat Penyelarasan Urusan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), David Shearer mendedahkan, stok bekalan asas seperti minyak masak, gula dan tepung semakin merosot.
  
  Menurut beliau, bekalan tersebut dijangka habis dalam tempoh beberapa hari melainkan Israel membuka semula pintu sempadan kawasan berkenaan yang digunakan untuk menyalurkan makanan.
  
  Katanya, sejak pergerakan Hamas memenangi pilihan raya Parlimen Palestin pada 25 Januari lalu, situasi kemanusiaan penduduk di wilayah itu kian parah memandangkan sempadan pintu utama ke Gaza di Karni ditutup.
  
  ``Keadaan di Gaza kini sudah mencapai tahap yang cukup berbahaya.
  
  ``Bekalan gula umpamanya akan habis di Gaza dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang.
  
  ``Begitu juga dengan bekalan tepung yang akan habis dalam tempoh empat hari melainkan trak yang mengangkut bekalan dibenarkan masuk,'' katanya dalam satu temu ramah dengan Reuters di sini.
  
  Lebih buruk lagi, kata Shearer, kenaikan harga gula mencecah lebih 25 peratus akibat penutupan sempadan pintu utama yang kerap, nyata membebankan rakyat.
  
  Sementara itu, wakil Program Makanan Dunia (WFP) di Gaza dan Tebing Barat, Arnold Vercken pula memberitahu, program bantuan kepada penduduk yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut mula tergendala ekoran situasi kemanusiaan tidak menentu.
  
  Menurut beliau, WFP yang membekalkan tepung gandum kepada kira-kira 146,000 penduduk Gaza tidak mempunyai pilihan selain menangguhkan operasi buat masa ini.
  
  Sungguhpun operasi penghantaran makanan ke Gaza sudah dihentikan, Vercken menolak bahawa isu kebuluran akan tercetus kerana kebanyakan keluarga di Gaza mempunyai stok tepung tambahan yang membolehkan ia bertahan lebih dari sebulan.
  
  Bagaimanapun beliau memberi amaran, dengan bekalan tepung yang ada di Gaza hanya berbaki 1,200 tan, penduduk di kawasan tersebut akan mengalami kesan yang teruk.
  
  Wilayah Karni yang ditutup selama 15 hari bermula dari 15 Januari hingga 5 Februari lalu sekali lagi ditutup pada 21 Februari ekoran satu letupan misteri di kawasan tersebut.
  
  Seorang jurucakap tentera Israel menjelaskan, penutupan ke atas Karni dilanjutkan selepas mereka menerima ancaman keselamatan yang berterusan.
  - Reuters

--
NADIE SAKURA E-SHOP
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami, jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
adiemad
013-2357442/012-2900354
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, jubah punjabi, dan
   blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.

Tiada ulasan: