Rabu, April 05, 2006

'Bernafsu' Dalam Pekerjaan

Dalam satu majlis makan malam bersama AlmarhumTan Sri Harun Hashim
di Universiti Islam Antarabangsa, seorang pelajar muda bertanyakan
kepada beliau apakah rahsia dalam kerjayanya selama ini. Tan Sri
mempunyai rekod kerja yang cemerlang, pengasas dan Ketua Pengarah
BPR yang pertama, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Pensyarah Kanan
UIAM, Timbalan Pesuruhjaya SUHAKAM, dan banyak lagi jawatan-jawatan
penting yang dipegang. Mendengar pertanyaan itu, beliau pun menjawab;

"Rahsianya mudah. Setiap kali saya diberi tanggungjawab untuk
melakukan sesuatu, saya akan `bernafsu' untuk melakukannya". Beliau
memandang sambil tersenyum.

Adakah anda sudah cukup `bernafsu' dalam pekerjaan anda selama ini?
Ataupun anda bekerja sekadar `melepaskan batuk di tangga' sahaja?
Jika anda ingin berjaya, dengarlah nasihat ini; lakukanlah pekerjaan
anda setiap hari dengan penuh `bernafsu'. Lakukanlah dengan penuh
minat, dan tumpuan yang sepenuh. Tetapkan sasaran yang terbaik dan
buatlah yang terbaik untuk mencapai matlamat itu. Insya Allah jika
anda berjaya menjadi sedemikian, anda tidak ada alasan lagi untuk
tidak berjaya.

Nafsu manusia perlulah dikawal dengan ajaran agama dan keimanan yang
tinggi. Tetapi nafsu kerja bukanlah seperti nafsu-nafsu kebinatangan
itu. `Nafsu kerja' adalah semangat dan keinginan yang teramat sangat
untuk melihat kejayaan serta kecemerlangan berada di hadapan anda.
Ia hanyalah satu istilah untuk menunjukkan bagaimana seseorang itu
bersungguh-sungguh dan tekun dalam setiap pekerjaannya.

`Nafsu kerja' menolak kekurangan yang ada

Orang yang `bernafsu' dalam bekerja tidak akan risau dengan apa yang
dia miliki sekarang. Apa yang penting ialah; perkara yang dibuat dan
matlamat yang diinginkan. Rasulullah seorang anak yatim piatu,
menjadi penggembala kambing, tidak tahu membaca dan hidup serba
kekurangan. Tetapi akhirnya beliaulah yang menjadi rahmat umat
seluruh alam. Ajaran wahyu yang dibawanya menjadi asas tamadun yang
kita ada sekarang.

Lihat sahaja Abraham Lincoln, Presiden Amerika yang disegani adalah
datang dari keluarga yang miskin. Begitu juga Ulysses Grant yang
pada mulanya gagal sebagai ahli perniagaan, kemudiannya menjadi
pemotong kayu, tetapi akhirnya menjadi Jeneral Tertinggi dalam
Perang Saudara Amerika.

Julius Caesar seorang pengidap penyakit sawan, tetapi tetap berjaya
membina sebuah empayar yang besar di Eropah. King Camp Gillete
ketika berusia 17 tahun hidup sehelai sepinggang apabila rumah
ayahnya hangus dijilat api. Micheal Faraday dilahirkan di dalam
kandang dan merupakan seorang tukang besi; tetapi akhirnya menjadi
saintis dalam bidang elektrik. Beethoven, seorang komposer seni,
merupakan seorang yang pekak. Audubon menulis karya "Paradise Lost"
setelah dia menjadi buta.

Joan of Arc, adalah seorang gadis petani yang buta huruf dan sangat
miskin akhirnya menjadi wira penyelemat Perancis dalam Perang 100
tahun. Presiden Franklin D Roosevelt menjadi Presiden Amerika
walaupun dilahirkan dalam keadaan lumpuh.

`Nafsu kerja' menolak kekalahan

Jika anda mempunyai `nafsu bekerja', anda tidak akan berasa lemah
semangat dan tidak akan takut akan kekalahan. Walaupun Nabi Muhammad
ditentang oleh bapa saudara dan dituduh gila, beliau tetap teguh
mengembangkan ajaran Islam yang suci itu. Walaupun isteri
kesayangannya Siti Khadijah, dan bapa saudaranya AbuTalib meninggal
dunia dalam tahun yang sama, beliau tidak pernah patah semangat dan
meneruskan kerja-kerja dakwahnya.

Lihat pula Thomas Alva Edison. Oleh kerana `bernafsu' untuk mencipta
bateri nikel-besi-kadmium, beliau sanggup menghabiskan masa sepuluh
tahun untuk itu. Untuk mencari tumbuhan yang mengeluarkan banyak
lateks, beliau melakukan klasifikasi kepada 17,000 jenis tumbuhan
dan hanya SATU jenis tumbuhan sahaja yang digunakan. Beliau juga
membuat 10,000 eksperimen sebelum boleh mencipta mentol lampu
pertama dunia.

`Nafsu kerja' tidak pernah kenal penat atau lelah

Orang yang mempunyai `nafsu kerja' juga tidak pernah mengenal penat.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, Perjanjian Versailles diadakan.
Ada seorang yang sangat disegani pada ketika itu, iaitu
Clemenceau, `Si Harimau Perancis'. Walhal umurnya pada ketika itu
sudah pun mencecah 75 tahun!

Vanderbilt membina dan merangka sebahagian besar daripada landasan
keretapinya ketika berusia lebih 70 tahun. Kant menulis kebanyakan
daripada karya falsafah dalam usia 75 tahun. Monet, pelukis terkenal
Perancis masih menulis ketika berumur 86 tahun. Van Humbolt mula
menulis karyanya yang terkenal, `Kosmas' ketika berusia 66 tahun,
dan hanya siap ketika berusia 90 tahun!. Victor Hugo menghasilkan
karya `Torquemada' ketika berusia 80 tahun. Titian yang
melukis `Battle of Lepato' yang terkenal ketika berumur 98 tahun!

--
NADIE SAKURA E-SHOP
"Allah matlamat kami, Rasul pimpinan kami, Al-Quran perundangan kami,
jihad jalan kami, syahid cita-cita kami"
adiemad
013-2357442
http://www.adiemad.com/ver2
1. Pakaian muslimah seperti jubah, tudung, jubah seluar, jubah punjabi, dan
blouse.
2. Busana Muslimin
3. Buku-buku agama
4. CD Ceramah Agama dan bacaan Al-Quran
5. Bahan didikan untuk kanak-kanak (Islamik)
6. Info program-program Ilimiah di sekitar Lembah Klang.

Tiada ulasan: