Selasa, September 26, 2006

Manfaatkan tidur siang untuk ibadah malam

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

TIDUR seketika pada tengah hari disebut qailulah dalam bahasa Arab, afternoon nap dalam bahasa Inggeris atau siesta dalam bahasa Latin yang diamalkan di Sepanyol dan Mexico.
TIDUR seketika pada tengah hari disebut qailulah dalam bahasa Arab, afternoon nap dalam bahasa Inggeris atau siesta dalam bahasa Latin yang diamalkan di Sepanyol dan Mexico.

Tidur siang sebegini adalah kebiasaan bagi orang yang mementingkan kesihatan, kesegaran dan produktiviti. Ia adalah budaya baik, apatah lagi Rasulullah pernah mengamalkannya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih disebutkan: “Tidur sekejap pada waktu tengah hari (qailulah) bukanlah perbuatan keji kerana Rasulullah pernah melakukannya.” Amalan ini semakin dilupakan dan tidak diambil perhatian, kalaupun dibuat, tidak mengikut spesifikasi sunnah.

Dalam masyarakat Inggeris, amalan ini menjadi kebiasaan. Saya melihat ia diamalkan di Britain, terutama di kalangan kanak-kanak prasekolah dan peringkat rendah. Saya teringat anak saya ketika di prasekolah di London mempunyai jadual tidur pada waktu tengah hari. Mungkin ini adalah mekanisme atau langkah membiasakan mereka supaya menghargai ‘makna’ tidur tengah hari apabila dewasa kelak.

Mereka mempunyai falsafah sendiri. Di kalangan masyarakat Sepanyol dan Mexico, mereka mesti melakukan siesta (tidur siang) kerana keadaan cuaca pada siang yang terlalu panas dan tidak membolehkan mereka keluar melakukan kegiatan luar.

Tidur seketika pada siang hari atau qailulah adalah kebiasaan masyarakat Arab, beberapa orang soleh dan ulama terdahulu. Mereka melakukannya tidak hanya pada Ramadan, tetapi pada hari biasa, khususnya pada musim panas.

Ulama soleh terdahulu menjadikan tujuan qailulah ini agar pada malam harinya mereka boleh bangun untuk mendirikan solat tahajud. Jadi tidur siang atau qailulah ini hanya kebiasaan atau budaya orang Islam terdahulu.

Saya agak terkejut mendengar keterangan bahawa tidur sebentar waktu siang adalah suatu hal yang dianjurkan hanya kerana syaitan tidak pernah tidur siang. Ini terutama apabila saya melihat orang berpuasa menggunakan tidur siang sebagai alasan untuk melayan rasa malas dan letih mereka. Sebenarnya banyak keterangan lain yang menganjurkan tidur seketika terutama bagi orang berpuasa.

Dalam sebuah riwayat, Imam Abu Hanifah selama 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam. Beliau tidur hanya sebentar pada waktu siang hari, iaitu qailulah. Waktu qailulah adalah selepas solat Zuhur hingga Asar selama beberapa minit saja iaitu antara 20 hingga 30 minit. Jika memang untuk membolehkan bangun malam untuk solat tahajud, tentu ini adalah sunnah Rasulullah. Kalau tidur siang ini hanya untuk bermalas-malasan, dan malam harinya tidak solat tahajud, Tarawih dan solat sunat lain, apakah nilai sunnah daripada tidur siang ini?

Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu siang ketika kebanyakan orang melakukan qailulah. Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.” Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang. Intinya, harus mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang (yang hanya seketika bukan sepanjang hari) meskipun pada Ramadan.

Hadis ada menyebut bahawa: "Tidurnya orang puasa adalah ibadah." Seperti penjelasan Iraqi dalam Takhrij Hadis-Hadis Ihya, bahawa hadis ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Abi Aufa, namun semua sanadnya antara dha'if (lemah) dan maudhu' (palsu).

Jadi di mana kita harus melihat ‘kekuatan’ maksud hadis ini? Kita perlu melihat secara positif, pengertian hadis itu harus dimaknai bahawa tidurnya orang puasa adalah terjaganya (terpelihara) diri orang yang puasa daripada setiap perbuatan maksiat dan mungkar, dari situlah wujud makna ibadah itu. Kalau tidur hanya untuk bermalas-malasan dan meninggalkan kewajiban serta melalaikan tugas, tentulah ini sangat bertentangan dengan makna ibadah puasa itu.

Sahabat Rasulullah menjalani puasa Ramadan dengan tugas yang cukup berat seperti Perang Badar dan penaklukan Makkah. Ini semua petunjuk bahawa puasa bukan untuk menjadikan kita bermalas-malasan, tetapi pencetus semangat agar memberikan yang terbaik meskipun dengan keterbatasan kecerdasan fizikal sebagai orang berpuasa. Malah, tidur seketika pada siang umpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari.

Tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan manusia secara biologi bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate. Antara tokoh yang menggalakkan tidur seketika pada tengah hari ialah Dr William A Anthony, (PhD) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art Of Napping At Work.

David F Dinges and Roger J Broughton dalam bukunya, Sleeps and Alertness: Chronological, Behavioral and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini. Kajian itu menunjukkan mereka yang secara rutin tidur 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30 peratus lebih rendah berbanding mereka yang lain. – Wanitajim0@yahoo.com

Tiada ulasan: