Selasa, Jun 21, 2005

Gunakanlah Segala Yang Anda Miliki

Gunakanlah segala yang anda miliki!

Setiap manusia lahir ke dunia ini dengan memiliki kelebihannya yang tersendiri. Kelebihan-kelebihan yang berbeza ini merupakan potensi yang boleh digunakan untuk meraih kejayaan dalam pelbagai bentuk. Tidak hanya manusia yang mempunyai kepandaian sahaja yang mampu meraih kejayaan hidup. Ilmu mempunyai pengertian yang luas. Ilmu Tuhan yang ada di dunia ini tidak akan habis dipelajari, walaupun manusia menggunakan 24 jam sehari semalam sepanjang hidupnya untuk menuntut semua ilmu yang ada. Oleh yang demikian, gunakanlah kebolehan, masa dan segala apa yang anda miliki untuk menuntut ilmu yang luas ini.

Jangan anda persoalkan tentang apa yang anda tiada. Jika anda tidak punyai wang untuk membeli buku-buku yang bagus untuk dibaca, anda mungkin punyai kawan yang miliki buku-buku tersebut untuk dipinjam. Atau mungkin juga anda miliki teman-teman yang berilmu untuk berkongsikan ilmu mereka dengan anda. Mungkin boleh dikatakan pada zaman ini, tidak ada alasan untuk anda mensiakan-siakan segala yang anda miliki. Anda perlu gunakan ia untuk kejayaan hidup anda.

Sebagai pelajar khususnya, anda mungkin tercari-cari potensi manakah yang boleh anda gunakan untuk kejayaan anda. Cuba anda lihat ke belakang, selama anda hidup di muka bumi ini, apakah kejayaan ataupun kebaikan yang telah anda kecapi. Kejayaan yang dihitung ini bukanlah sebagai satu cara untuk membanggakan diri. Sebaliknya anda perlu menghitung apakah potensi diri anda yang boleh digunakan untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang. Sebagai contohnya, katakanlah anda pernah mendapat anugerah dalam pertandingan lumba lari. Anda juga sebenarnya mampu menggunakan kekuatan itu untuk membuat kerja secara pantas. Anda boleh gunakan kekuatan itu pada lapangan lain yang anda ceburi jika anda mahu. Yakinlah bahawa anda sebenarnya istimewa daripada orang lain walaupun anda tidak miliki keistimewaan-keistimewaan yang ada pada mereka!

Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 286 Allah SWT berfirman:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. "

Ayat ini memberikan kepada kita kekuatan, bahawa setiap perkara atau ujian yang menimpa kita, berlaku seiring dengan kekuatan yang kita ada. Walaupun mungkin sesetengah kita hidup dalam keadaan yang susah, tidak mampu untuk memiliki segala kemudahan khususnya dalam lapangan pembelajaran, kita perlu bersyukur kerana mungkin adakalanya kita lebih baik dari setengah yang lain. Jika kita tidak miliki wang untuk membeli buku-buku yang baik, mungkin ada orang yang tidak miliki mata untuk membaca. Buku boleh dibeli jika ada wang, tetapi mata tidak boleh dibeli meskipun ada wang. Lihatlah orang yang lebih bawah daripada kita dalam urusan dunia. Kita perlu bersykur!.

Tiada ulasan: