Selasa, Jun 21, 2005

Semalam, Hari Ini dan Esok

Semalam, hari ini dan esok

Merancang penggunaan masa amat penting kerana masa umpama harta yang setiap manusia ada. Malah ia lebih berharga daripada harta-harta lain yang manusia miliki. Mungkin ada manusia yang ada harta banyak, tapi setengah yang lain tidak memilikinya. Tetapi tidak bagi masa. Semua manusia mempunyai hak ke atasnya. Setiap manusia, berkemampuan untuk memanfaatkan masa yang dia miliki. Oleh yang demikian, sebagai pelajar, walaupun anda tidak memiliki benda lain untuk dijadikan elemen pembelajaran, anda haruslah sedar anda mempunyai masa yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

Dalam menjalani hidup sebagai pelajar, masa perlu dibahagikan secara teratur kepada beberapa segmen keperluan. Sebagai contohnya, anda boleh membahagikan masa seharian anda kepada segmen-segmen berikut:

1. Masa beribadat
2. Masa bekerja (belajar)
3. Masa berkeluarga
4. Masa menambah intelektual
5. Masa bermasyarakat
6. Masa bersosial

Segmen-segmen ini dibentuk, supaya keseimbangan rohani dan jasmani dapat diwujudkan. Tidak ada manusia hebat yang hanya menumpukan kerjanya pada suatu perkara sahaja. Fitrah manusia, apabila dia hanya menumpukan kerjanya pada satu perkara sahaja, dalam satu jangka masa dia akan keletihan dan bosan untuk melakukannya. Begitu juga dalam pembelajaran, bukanlah satu cara yang efektif dengan hanya belajar 24 jam tanpa henti. Para pelajar juga perlu mengambil berat tentang keperluan social lainnya.

Dalam pengurusan masa yang efektif, disiplin diri amat penting. Sebagai contohnya, dalam seharian, seseorang pelajar itu perlu menetapkan berapa jam yang mesti atau wajib baginya mengulangkaji pelajaran. Walaupun masa yang ditetapkan itu hanya sekadar dua jam sehari, jika ia dapat melakukannya secara berterusani, dia akan merasakan kesan yang mendalam. Sesungguhnya amal yang yang sedikit tetapi berterusan itu adalah lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak berterusan. Sabda RasuluLLah SAW:

"Amal yang paling disukai oleh Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit."

Demikianlah sebagai pelajar, anda perlu menghargai hari ini yang anda miliki. Bagi manusia, anda memiliki tiga yang boleh difikirkan. Semalam yang telah berlalu, hari ini untuk diusahakn, dan esok yang masih belum tentu. Jika anda menangisi kegagalan semalam, anda tak mungkin dapat mengulanginya semula kerana ia telah berlau. Dan jika anda mengharapkan atau menunggu hari esok untuk melakukan yang terbaik, belum tentu hari esok akan dating untuk anda. Mungkin anda akan bertemu dengan kematian pada hari esok. Jadi yang anda miliki hanyalah hari ini. Oleh itu pastikanlah hari ini, anda lalui dengan keazaman, iaitu untuk menjadikannya amat bermakna dan tidak disia-siakan.

Rebutlah peluang masa yang anda miliki. Dalam pesan RasuluLlah SAW:
"Pergunakanlah lima perkara sebelum dating lima perkara:
1. Masa hidup mu sebelum datang masa kematianmu.
2. Masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu.
3. Masa lapangmu sebelum masa kesibukanmu.
4. Masa muda mu (yang kuat) sebelum datang masa tuamu.
5. Masa kayamu sebelum datang masa faqirmu. "

Inilah hakikat yang semua manusia perlu sedari. Tiada sebarang bentuk kesenangan manusia yang akan berterusan. Semuanya berbentu pinjaman yang harus digunakan dengan sebaik mungkin semasa adanya. Jangan sesekali menangisi perkara yang telah berlalu kerana mustahil manusia dapat kembali semula kepadanya. Hanya pengiktibaran yang dapat diambil dari masa yang berlalu. Jika gagal hari semalam, anda harus berazam untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam walaupun hanya sedikit!

Seorang ahli sufi yang bernama Hassan Al-Basri berkata:

"Tidak ada suatu haripun yang bila terpandar sahaja fajar, melainkan masa akan menyeru kepada kamu: "Wahai anak ada! Aku masa yang baru. Hanya pekerjaan kamu menjadi saksi. Maka ambillah daku untuk bekalanmu. Sesungguhnya selepas aku pergi aku tidak akan kembali lagi hinggalah ke hari qiamat nanti."

Oleh yang demikian, pastikan setiap saat yang anda sedang lalui sekarang aanda isikan dengan perkara bermanfaat. Tuntutlah ilmu, dan jadikanlah ia sebagai teman yang paling baik bagi anda.